GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa supaya mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab membeli ventilator rosak yang diperoleh Kementerian Kesihatan (KKM) semasa pandemik Covid-19.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, semasa kemuncak pandemik Covid-19 pada 2020, Kabinet ketika itu dimaklumkan mengenai keperluan bagi 800 ventilator, berikutan itu KKM telah meluluskan RM30 juta kepada sebuah syarikat untuk membeli 500 unit ventilator.
“Disebabkan kekangan bekalan, syarikat itu berjaya memperoleh hanya 136 unit ventilator pada harga RM20.12 juta, harga yang dilaporkan empat kali lebih tinggi daripada kadar biasa. Bagaimanapun didapati 104 daripada 136 ventilator yang dibeli tidak boleh digunakan.
“Pada awal bulan ini dilaporkan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bahawa tiada tindakan boleh diambil ke atas isu itu kerana ketiadaan perjanjian bertulis antara KKM dan syarikat terbabit,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Mohideen, memandangkan peralatan menyelamatkan nyawa seperti ventilator sangat penting semasa pandemik Covid-19, adalah mengejutkan bahawa kecuaian sedemikian telah berlaku malah ventilator yang rosak itu bukan sahaja membazirkan dana awam tetapi juga membahayakan nyawa pesakit.
“PAC gagal dalam tugasnya untuk mendedahkan mereka yang bertanggungjawab bagi pembelian ventilator yang tidak boleh digunakan. Alasannya bahawa tiada kontrak bertulis rasmi adalah tidak boleh diterima,” katanya.
Jelasnya, PAC sepatutnya mengesyorkan agar agensi penguatkuasaan undang-undang menyiasat kes itu dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bersalah. – KOSMO! ONLINE