KUALA LUMPUR – Tular satu video di media sosial sebuah kedai shawarma terkenal di Bukit Bintang didakwa telah diserbu oleh pihak Jabatan Imigresen (JIM) malam tadi.
Menerusi video yang dimuat naik @chef_arizal_pitboybbq dan beberapa pengguna lain di aplikasi Tiktok, kelihatan ramai pelanggan terpinga-pinga kerana ‘habibi’ yang berada di hadapan kedai semuanya telah ‘hilang’.
Tambah pula, beberapa pegawai dilihat mengarahkan pekerja-pekerja kedai tersebut menaiki trak Imigresen yang diletakkan di tepi kedai.
Difahamkan ramai pelanggan hampa dan kempunan apabila terpaksa pulang setelah beratur panjang untuk membeli shawarma terkenal itu.
“Kedai shawarma Bukit Bintang popular kena ‘rush’ (serbu). Kesian pelanggan kena yang dah beratur panjang,” tulisnya dalam video tersebut.
Di dalam video tular lain dimuat naik oleh @leen18leo, kelihatan keadaan di hadapan kedai shawarma itu telah kosong termasuklah di bahagian kaunter dan pembungkusan.
“Mana pergi semua ‘habibi’. Baru nak merasa beli shawarma ni,” tulisnya dalam video itu.
Sehingga kini, Kosmo! masih sedang cuba mendapatkan pengesahan dari pihak Jabatan Imigresen Malaysia berhubung isu ini. – KOSMO! ONLINE.