PETALING JAYA – Seorang lelaki juga orang kelainan upaya (OKU) penglihatan sempat menghantar ‘voice note’ kepada isterinya selepas terjatuh ke dalam sebuah lubang.
Menurut hantaran isterinya di laman TikTok @mrranggapnnadia, lubang tersebut berada di laluan ‘tactile’ yang sering digunakan oleh OKU penglihatan ketika berjalan.
“Terkejut saya mendengar voice note daripada suami memberitahu dia terjatuh dalam lubang. Allah SWT sahaja yang tahu perasaan saya ketika itu.
“Syukur suami tidak mengalami sebarang kecederaan serius. Dia sudah ke klinik untuk pemeriksaan lanjut. Moga Allah SWT terus menjaga lindungi suami saya,” katanya dalam ruangan kapsyen.
Dalam hantaran sama, pengguna tersebut juga sempat berpesan kepada orang ramai untuk membuat aduan serta merta sekiranya ternampak sebarang halangan atau lubang di laluan ‘tactile’.
“Sekiranya ternampak sebarang halangan pada laluan orang buta, bantulah kami untuk laporkan kepada pihak berkaitan. Mari sediakan laluan selamat untuk OKU penglihatan,” katanya.
Meninjau ke ruangan komen, orang ramai tidak melepaskan peluang untuk mendoakan kesejahteraan mangsa.
“Semoga suami cepat sembuh. Macam manalah tiba-tiba boleh ada lubang di laluan itu,” kata Shira.
“Boleh cuba kemukakan sebarang ganti rugi berkenaan kecederaan suami puan kepada majlis perbandaran tempat tinggal puan ya,” kata seorang lagi pengguna.
“Kalau yang hilang itu penutup besi, mungkin telah dicuri oleh orang yang tidak bertanggungjawab,” kata Ekin.
Kini, hantaran tersebut telah menerima 2,213 tanda suka dan 143 komen. – KOSMO! ONLINE
@mrranggapnnadia Terkejut saya mendengar voicenote dari suami bagitahu dia jatuh dalam lubang 😭😭 Allah sahaja yang tahu perasaan saya masa tu😭😭 Syukur husband kata dia x ada apa2. Dia dah ke klinik dan Dr kata tiada keretakan (buat xray). Syukur alhamdulillah. Terima kasih Allah. Moga Allah terus menjaga dan lindungi suami. Saya dengan rendah hati, mohon kepada semua, sekiranya ternampak halangan atau lubang yang berbahaya di laluan tactile (laluan orang buta), mohon bantu untuk laporkan kepada pihak yang berkaitan ya. Mari sediakan laluan tactile yang selamat untuk OKU penglihatan. P/s: kawasan area dataran merdeka ke masjid negara #mrranggapnnadia #raiseawarenessfortheblind #okupenglihatan #blind #tiktokguru ♬ Instrumen Sholawat Sedih – Yuda pratama