PETALING JAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia untuk menerapkan nilai kemanusian dalam setiap profesion yang diceburi dengan menghubungkan elemen ehsan dan hormat-menghormati antara satu sama lain.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, ia berikutan aspek manusiawi akan mengangkat martabat masyarakat dalam melaksanakan tugas dengan penuh tatakelola sekali gus menolak kebejatan serta rasuah.
“Saya persoal, apa guna kewujudan gedung raksasa kendatipun jambatan canggih tetapi kita tidak pertahan nilai kemanusiaan dalam kehidupan seharian.
“Inilah nilai ehsan dalam konsep Malaysia Madani yang kita diterapkan dalam agenda kerajaan ke arah agenda pembinaan bangsa,” katanya ketika hadir merasmikan sambutan Hari Profesion Teknikal Negara 2023 (HPTN2023), hari ini. – KOSMO! ONLINE