PETALING JAYA – Orang ramai yang berjaya menebus kredit eMadani sebanyak RM100 bermula semalam diingatkan untuk membelanjakannya sebelum pukul 11.59 malam, 29 Februari 2024.
Ini kerana, selepas waktu tersebut baki yang tidak digunakan akan luput secara automatik daripada e-dompet penerima.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, bantuan yang dilaksanakan secara sekali bayar (one-off) itu dibuka mulai 4 Disember hingga 20 Februari 2024.
Ia merupakan inisiatif daripada Kementerian Kewangan (MoF) dilancarkan bertujuan menggalakkan ekonomi digital dan memupuk budaya pembayaran tanpa tunai, memanfaatkan 10 juta rakyat dewasa yang layak dengan peruntukan RM1 bilion
Dalam pada itu, Kementerian Kewangan (MOF) dalam hantaran di laman Facebook sebelum ini menyebut orang ramai boleh menyemak kelayakan di portal rasmi https://manfaat.mof.gov.my/individu/eMADANI.
Menurut MOF, pengguna yang layak bole menggunakan kredit RM100 itu untuk sebarang transaksi secara fizikal di 1.8 juta peruncit atau perniagaan melalui e-dompet pilihan atau kod QR DuitNow.
Cara penebusan boleh dibuat melalui penyedia perkhidmatan e-dompet terpilih iaitu MAE, Setel, ShopeePay dan Touch ‘n Go eWallet. – KOSMO! ONLINE