fbpx

Tak mahu tampil tangan kosong – Kaka Azraff

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAKA kini berdepan penamatan kontrak bersama Warner Music akibat lantang menyelar keganasan Israel.

PETALING JAYA – Selepas beberapa hari mengunci mulut berhubung spekulasi ditamatkan kontrak rakaman akibat lantang menyelar keganasan Israel di Palestin, penyanyi Kaka Azraff akhirnya bersuara dan berjanji akan segera mengulas isu berkenaan dalam waktu terdekat.

Katanya, bukan sengaja mendiamkan diri atau mengelak daripada memberikan kenyataan tentang penamatan kontraknya oleh Warner Music, sebaliknya dia perlu mendapatkan nasihat peguam sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Saya akan adakan sidang media dalam tempoh terdekat, sama ada esok atau pun lusa, kita tengok dulu sebab saya tak mahu tampil dengan tangan kosong.

“Ramai (media) yang hubungi saya, tetapi lebih baik kita bersemuka supaya semuanya (butiran) dapat dijelaskan secara terbuka,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.

Diminta mengesahkan kesahihan dakwaan membabitkan label Warner Music Malaysia, pemilik nama sebenar Nor Atiqa Noor Azraff itu berkata, perkara tersebut hanya akan diperincikan pada sidang media nanti.

Kemelut Kaka bersama syarikat yang menaungi syarikat pengurusan kontrak rakamannya itu tercetus apabila Kaka meninggalkan komen secara mesej langsung (DM) kepada pelakon Australia pro-Israel, Nathaniel Buzolic mengecam perkongsian lelaki itu dalam Instagram Story.

Tindakan penyanyi berusia 34 tahun itu meraih perhatian pempengaruh popular tersebut yang kemudian memuat naik semula tangkap layar butiran mesejnya.

“Kerana Israel adalah orang yang memulakan (perang). Israel mencuri tanah mereka dan kini bertindak seperti mereka mangsa?” tulisnya.

Gara-gara kenyataan tersebut, bukan hanya pensohor terbabit, sebuah laman sosial bawah nama Jew Hate Database turut menyenaraikan nama Kaka sebagai antisemitik.

Laman Instagram yang ditubuhkan bagi mendedahkan individu serta selebriti pro-Palestin untuk dimalukan turut berkempen menjatuhkan Kaka dengan mendedahkan maklumat dirinya.

Dalam perkongsian mereka, penyanyi Bukan Hal Aku itu disebut sebagai ‘pembenci Yahudi’ dan pada hantaran sama turut dikongsikan identitinya
sebagai artis di bawah Warner Music Malaysia.

Pendedahan dibuat mengakibatkan laman sosial Kaka diserang penyokong Israel, namun ‘tentera bawang’ Malaysia tidak berdiam diri dengan membuat serangan balas.

Malah Instagram label dinaungi penyanyi Bukan Hal Aku itu turut berdepan kecaman berikutan desas-desus menamatkan kontrak Kaka yang dikatakan berkuatkuasa sehingga 31 Disember ini walaupun perjanjian bersama itu difahamkan hanya berakhir pada April 2024.

Rata-rata meminta orang ramai memboikot label yang disifatkan pro-Israel itu, selain mendesak anak syarikat kepada Warner Music Group yang ditubuhkan sejak 1978 tersebut menutup operasi mereka di negara ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI