PETALING JAYA – Seorang suri rumah, Gurdeep Kaur yang mengalami kecederaan pada bahagian leher dan belakang pinggang akibat tergelincir ketika memasak dibayar faedah Hilang Upaya Kekal (HUK) oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Pengarah Perkeso Negeri Selangor, Ismail Abi Hashim berkata, wanita berusia 52 tahun itu dikategorikan sebagai suri rumah berinsurans (SRB) apabila didapati mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR).
“Berdasarkan laporan, ketika kejadian pada 17 Mei lalu, wanita tersebut sedang menyediakan makanan tengah hari dan kemudian menuju ke kabinet dapur untuk mengambil sudu bagi merasa hidangan yang disediakan, tiba-tiba tergelincir disebabkan lantai basah dan berminyak.
“Puan Gurdeep Kaur disahkan mengalami kecederaan ‘slipped disc’ di bahagian leher dan belakang pinggang selepas mendapatkan rawatan di Hospital Columbia Asia, Klang pada hari yang sama.
“Susulan tuntutan Notis Bencana Domestik yang difailkan di Pejabat Perkeso Klang, hasil semakan mendapati pencarum SKSSR secara sukarela ini layak diberikan faedah HUK dengan jumlah pampasan sekali bayar sebanyak RM3,300,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kenyataan sama, setakat 26 November lalu, Perkeso memaklumkan seramai 200,528 pencarum SKSSR direkodkan dari seluruh negara, manakala jumlah pembayaran faedah kepada 364 penerima adalah sebanyak RM974,769.32.- KOSMO! ONLINE.