KUALA NERUS – Pondok pembayaran tempat letak kenderaan di Pusat Perniagaan Dataran Rimba, Gong Badak di sini yang musnah akibat perbuatan khianat hampir dua bulan lalu sekali lagi dibakar pada malam tadi.
Sebuah lagi pondok pembayaran di kawasan sama pula turut rosak teruk akibat perbuatan vandalisme pada semalam.
Wakil syarikat terbabit, Norshafina Ab. Fatah berkata, pihaknya hanya sempat beroperasi selama dua hari iaitu hujung minggu lalu sebelum insiden tersebut berlaku.
“Kami memulakan operasi pada pukul 9 pagi hingga 7 malam pada Sabtu dan Ahad lalu sebelum sebuah pondok bayaran (tempat letak kenderaan) dirosakkan pada malam kelmarin.
“Malam tadi, satu lagi pondok bayaran dibakar. Kedua-dua insiden dipercayai berlaku pada waktu malam sewaktu kami tidak beroperasi,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Dataran Rimba di sini hari ini.
Tinjauan Kosmo! mendapati salah sebuah pondok bayaran yang dipecahkan tingkapnya turut tertampal 24 helai kertas saiz A4 mengandungi luahan kononnya oleh peniaga-peniaga Dataran Rimba yang tidak berpuas hati pelaksanaan caj tempat letak kenderaan di kawasan tersebut.
Norshafina berkata, tindakan pihak tidak bertanggungjawab tersebut amat dikesalkan dan telah menyebabkan syarikatnya kerugian keseluruhan hampir RM20,000.
Kosmo! 9 Oktober lalu melaporkan sebuah pondok bayaran tempat letak kenderaan musnah terbakar disyaki disebabkan perbuatan khianat tidak sampai 48 jam siap dibina. – KOSMO! ONLINE.