PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin pimpinan Kerajaan Perpaduan ketika ini sudah cukup kuat untuk mendepani cabaran ekonomi pada tahun 2024.
Katanya, tiada lagi istilah politik tebuk atap, kerana fokus utama kerajaan adalah mahu memastikan ekonomi negara terus berkembang.
“Beberapa bulan awal, ada yang terus bicara tentang politik tebuk atap, tetapi sekarang ia sudah berlalu, umum mengetahui kerajaan ketika ini lebih kuat.
“Bila kerajaan sudah kuat, apa yang kita perlu lakukan? pastinya tumpu pertumbuhan ekonomi, mutu pendidikan, kemudahan kesihatan yang lebih baik dan tentunya isu sosio-ekonomi dalam menoktahkan kemiskinan.
“Alhamdulillah, kemiskinan tegar (di Malaysia) selesai,” katanya ketika sesi wawancara khas Setahun Bersama Kerajaan Madani: Tiwikrama Perdana Menteri, malam ini.
Tambah Anwar, kestabilan politik negara itu adalah amat penting bagi memastikan pelabur luar yakin untuk berkerjasama dengan Malaysia
“Seperti mana kita saksikan dalam kunjungan kita ke luar negara, mereka (pelabur) mahu yang pertama, kerajaan yang stabil,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE