PETALING JAYA – Pengguna aplikasi MAE yang layak menebus kredit RM100 di bawah program eMADANI berpeluang memenangi hadiah menarik bernilai sehingga RM500,000 termasuk kenderaan sedan terbaharu Proton, S70.
Kempen Tebus, Belanja dan Menang oleh Maybank itu turut menawarkan hadiah wang tunai, bar emas dan banyak lagi.
Sebagai tambahan, bagi menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan, pengguna juga boleh beroleh penyertaan tambahan menerusi ciri Tap, Track & Win apabila mereka membelanjakan kredit eMADANI dengan peniaga-peniaga ini di seluruh negara.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, Maybank berbesar hati untuk menjadi salah satu daripada empat e-dompet yang dipilih Kerajaan untuk membantu agihan kredit eMADANI.
Tambahnya, sebagai institusi kewangan terbesar negara dengan asas pelanggan sekitar 12.4 juta, pihaknya yakin untuk menyokong penuh inisiatif berkenaan dan mencapai sekumpulan besar penerima dengan mudah.
“Dengan peningkatan kos barangan dan barangan keperluan, bantuan tunai adalah kelegaan yang diperlukan, terutamanya bagi kumpulan yang dikenal pasti dan kami amat berbesar hati untuk membantu dalam usaha ini.
“Program eMADANI juga akan mempunyai kesan limpahan untuk merangsang perdagangan peniaga tempatan kami melalui transaksi pembayaran QR yang lancar dan mudah.
“Ini sejajar dengan teras strategik M25+ Maybank untuk memperhebatkan fokus kepada pelanggan dengan meningkatkan kepuasan mereka dan menjadikan perkhidmatan kami mudah diakses oleh semua,” ujarnya dalam satu kenyataan semalam. – KOSMO! ONLINE