LONDON – Bintang snuker No.1 dunia, Ronnie O’Sullivan mencipta sejarah tersendiri apabila muncul juara tertua saingan berprestij Kejuaraan United Kingdom dengan menewaskan jaguh China, Ding Junhui 10-7 pada aksi final awal pagi semalam.
Kemenangan tersebut menyaksikan O’Sullivan, 48, berjaya memadam rekod yang sebelum ini dipegang oleh Doug Mountjoy dari Wales apabila bergelar juara ketika berusia 46 tahun pada 1988.
Lebih manis, pakar snuker kelahiran England itu sebelum ini turut mencipta sejarah apabila muncul pemenang termuda ketika berusia 17 tahun untuk mendominasi edisi 1993.
Kata O’Sullivan, perlawanan kali ini cukup sengit kerana bukan mudah bersaing dengan jaguh lebih muda tetapi pengalaman memberi tuah kepadanya untuk meraih gelaran pertama di laman sendiri sejak 2018.
“Saya seperti berada dalam mimpi apabila masih mampu bersaing di peringkat tertinggi selain dapat bergelar juara kejohanan elit pada usia 48 tahun.
“Kemenangan ini cukup istimewa tetapi harus diakui ketika menang pada usia remaja lebih memberikan kenangan manis. Kali ini, saya semakin matang dalam usaha menilai sesuatu dan ada perkara lain yang lebih memberikan saya keterujaan.
“Apa yang pasti, saya masih belum ada sebarang perancangan untuk bersara kerana prestasi saya semakin bagus. Sudah tentu saya mahu meraih banyak lagi kejuaraan pada masa akan datang,” katanya. – AGENSI