PETALING JAYA – Babak cium antara pelakon Daiyan Trisha dan Hun Haqeem dalam siri W: Two World’s hangat dibahaskan netizen meski menggunakan kain sebagai pelapik seolah-olah mahu menunjukkan tiada sentuhan kulit.
Biar apa pun alasan, adegan kurang manis dalam episod awal siri adaptasi K-drama itu disifatkan tidak sesuai dengan budaya negara ini.
Walaupun berlapik, babak intim yang mempamerkan Daiyan Trisha sebagai Izara seperti dicium Hun Haqeem selaku penggalas watak Alif membuatkan ramai meluahkan perasaan tidak puas hati.
Berdasarkan drama romantis terbitan Korea Selatan yang bersiaran pada 2016, watak Oh Yeon-Joo (Han Hyo-Joo) dicium Kang Chul (Lee Jong-Suk) secara mengejut.
Versi tempatan juga menonjolkan keintiman sama tetapi hanya diolah sedikit dengan meletakkan kain sebagai pelapik.
Rata-rata penonton yang meninggalkan komen berpendapat pengarah tidak perlu meniru setiap babak tanpa menggunakan kreativiti.
Pihak produksi serta pelakon menerima teguran keras kerana didakwa tidak mengambil kira sensitiviti masyarakat sebelum setuju beraksi sedemikian.
“Kisah adaptasi tidak perlulah tiru bulat-bulat naskhah asal sampai babak bercium pun nak buat.
“Pengarah kena pandai sesuaikan dengan keadaan serta sensitiviti penonton kita dengan guna kreativiti bagi babak tersebut.
“Kalau audien nak tengok yang sama, baik tengok yang original saja. Awak semua gagal,” tulis seorang penonton dalam Instagram rasmi Viu Malaysia.
Malah ada yang memberi cadangan supaya memotong terus adegan tidak perlu kerana perjalanan cerita tetap lancar tanpa babak seumpama itu.
Begitupun, masih ada peminat yang mengeluarkan hujah dengan menegaskan paparan ciuman perlu kerana menjadi detik permulaan cinta pasangan terbabit.
Sementara itu, pihak saluran penstriman Viu ketika dihubungi Kosmo! Online memaklumkan tiada kenyataan akan dibuat berhubung isu berkenaan.
Selain Daiyan dan Hun, W: Two Worlds turut dibintangi Faizal Hussein, Mierul Aiman, Elizabeth Tan serta Tony Eusoff. – KOSMO! ONLINE