PORT DICKSON – Sepanjang 387 hari bertugas dalam misi pengaman di Lubnan, pasukan MALBATT-10 tidak pernah gentar bahkan masih bersemangat berjuang meskipun turut menerima kesan daripada konflik Palestin-Israel pada 7 Oktober lalu.
Ini diakui oleh Komander pasukan, Kolonel Mohd Rizman Ramli yang diberikan amanah untuk mengetuai 854 anggota.
Ia terdiri daripada 84 pegawai, 770 anggota lain-lain pangkat (LLP), termasuk tiga pegawai dan 27 anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) serta seorang pegawai kewangan dari Kementerian Pertahanan.
Menurut beliau, pada fasa terakhir bertugas di sana, tumpuan lebih diberikan kepada keselamatan dalam kem membabitkan anggota dan peralatan dalam keadaan baik bagi menghadapi sekiranya berlaku serangan tidak dijangka.
“Anggota MALBATT masih tetap bersemangat walaupun sedikit sebanyak agak takut kerana mendengar bunyi letupan. Jarak serangan sebenarnya 20 kilometer jauh dari kami, namun saya sering menerangkan keadaan semasa di Gaza bagi memastikan anggota bersiap siaga dengan apa yang berlaku.
“Dengan kekuatan penuh, peralatan yang cukup dan kenderaan yang mantap, pelbagai kejayaan telah kita capai selain kesemua pasukan dapat pergi dan pulang dengan selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Majlis Perbarisan Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (PNBB) dan Pembubaran Malaysian Battalion 850-10 di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) di sini semalam.
Untuk rekod, Kontinjen MALBATT 850-10 memulakan misi UNIFIL di Lubnan pada 27 Oktober tahun lalu dan berakhir 14 November lepas. MALBATT ditempatkan di Kem Ma’rakah dan Kem Tibnin serta di bawah kawalan operasi Sektor Barat UNIFIL.
Sementara itu, bagi Juruteknik Peluru, Flait Sarjan Mohamad Azan Aziz, sepanjang lebih setahun bertugas di Selatan Lubnan, dia mendapat pengalaman manis apabila dapat mempelajari budaya masyarakat Arab.
“Pengalaman yang tidak dilupakan saya apabila bermulanya konflik Palestin-Israel. Kami dapat merasai pengalaman getir saat itu apabila mendengar letupan roket, bom bermula pada waktu petang sehinggalah ke malam.
“Penugasan harian kami agak terjejas, tapi ia dapat dikawal dengan baik,” katanya.
Bagi Pegawai Staf 2 Latihan, Leftenan Komander Wan Shahrul Ai’man Wan Mohd. Hussin berasa sangat bertuah apabila dapat mengkoordinasikan latihan antara pasukan MALBATT dengan kontinjen negara-negara lain.
“Semasa konflik Palestin-Israel, kami terpaksa berlindung di dalam bunker sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku ancaman terhadap kami,” katanya.
Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman berkata, MALBATT 850-10 telah diberi kepercayaan menduduki kawasan tanggungjawab terbesar di Sektor Barat UNIFIL dengan keluasan 288 kilometer persegi dan sejumlah 48 municipalities.
Katanya, MALBATT 850-10 bertanggungjawab menduduki lima penempatan United Nation Positions (UNP) di selatan Lubnan dan sebanyak 52 operasi harian dijalankan, sama ada secara independent atau bersama tentera Lebanon. -KOSMO! ONLINE