ISTANBUL – Presiden Recep Tayyip Erdogan menegaskan bahawa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu perlu diheret ke mahkamah antarabangsa kerana melakukan jenayah perang selain turut menggelar pemerintah Rejim Zionis itu sebagai ‘Penyembelih Gaza’, lapor laman berita TRT World semalam.
“Kita tidak akan membiarkan isu di mana Israel memiliki senjata nuklear dilupakan begitu sahaja,” kata Erdogan dalam ucapan pembukaan semasa mesyuarat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Istanbul semalam.
Tambah Erdogan, mereka yang cuba menutup mata berhubung kematian rakyat Gaza dengan berdiam diri atau membenarkan serangan Israel atas alasan Hamas, nyata tidak mempunyai sifat perikemanusiaan.
“Israel bukan sekadar pembunuh, bahkan pencuri. Kita tidak boleh membiarkan mereka menakluki Semenanjung Gaza sekali lagi,” katanya.
Tegas Erdogan, Gaza ialah wilayah Palestin, milik rakyat Palestin dan akan kekal demikian buat selama-lamanya.
“Mereka (Israel) yang menakluki Gaza akan mencari tempat baharu untuk ditakluki selepas ini. Penyembelih Gaza iaitu Netanyahu mempunyai cita-cita ekspansionis,” jelasnya.
Beliau selain itu mengkritik tindak balas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke atas serangan di Gaza dengan berkata, usaha Setiausaha Agung Antonio Guterres telah disabotaj oleh ahli-ahli organisasi itu sendiri.
“Disebabkan struktur PBB sedia ada, keputusan (resolusi) ini menjadi lapuk,” katanya sambil merujuk kepada resolusi yang dicapai pada 27 Oktober lalu bagi mendesak gencatan senjata segera, lebih lama dan berterusan. – AGENSI