TEL AVIV – Perbicaraan rasuah Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bersambung semalam selepas dua bulan terhenti berikutan pengisytiharan darurat susulan serangan Hamas pada 7 Oktober lalu, lapor saluran berita CNN.
Perbicaraan juga diadakan selepas Menteri Kehakiman Israel, Yaris Levin menarik balik status darurat yang berkuat kuasa pada 1 Disember lalu.
Perbicaraan kes rasuah Netanyahu pertama kali bermula pada Januari 2020, menjadikannya sebagai Perdana Menteri Israel pertama dihadapkan ke mahkamah dalam perbicaraan berhubung tuduhan penipuan, pecah amanah dan rasuah.
Netanyahu yang menafikan sebarang salah laku, berdepan tiga kes berasingan.
Antaranya Perdana Menteri itu didakwa melakukan penipuan dan pecah amanah termasuk menerima hadiah seperti cerut dan minuman keras daripada ahli perniagaan dari luar Israel.
Netanyahu dituduh meminta liputan positif daripada salah sebuah akhbar terkemuka di Israel sebagai pertukaran untuk mengehadkan edaran saingan utama surat akhbar tersebut.
Dia juga didakwa menerima rasuah, melakukan penipuan dan pecah amanah melibatkan jumlah lebih AS$250 juta (RM1.16 bilion).
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Kerjasama Serantau Israel David Amsalem mengkritik kes-kes Netanyahu dibicarakan semula semasa Israel berperang dengan Hamas.
Namun, di bawah undang-undang Israel, Perdana Menteri itu tidak perlu berundur daripada jawatannya melainkan beliau disabitkan bersalah. – AGENSI