SEPANG – Kementerian Dalam Negeri (KDN) sentiasa memantau rapi trend ketibaan pelawat dari China dan India yang mula mendapat hak pengecualian visa selama tempoh 30 hari.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail walau bagaimanapun berkata, buat masa ini adalah terlalu awal bagi membuat sebarang rumusan pelaksanaan pelan liberalisasi itu.
“Kita (KDN) memang sedang pantau sepanjang masa untuk lihat keberkesanan kerana inisiatif ini baru bermula 1 Disember lalu,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau pelaksanaan Pelan Liberalisasi Visa di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, berdasarkan data Malaysia Airports Holdings Berhad, sejumlah 200 penerbangan masuk dari India dan China di KLIA setakat semalam.
“Ada 108 penerbangan dari China sejak 1 Disember lalu manakala dari India pula sudah mencatatkan 92 penerbangan dan masih dianggap awal untuk diulas terperinci,” katanya.
Beliau namun menjangka angka tersebut boleh bertambah dalam masa terdekat apabila rakyat di kedua-dua negara itu mula menyedari kelonggaran visa selama tempoh sebulan.
Sementara itu, Saifuddin berkata, kesemua rakyat Singapura ingin memasuki negara ini tidak perlu mengisi Kad Ketibaan Digital Malaysia (MDAC) yang telah dilaksanakan pada 1 Disember lepas.
Perkara tersebut diputuskan berikutan warga republik itu merupakan rakyat asing paling tinggi datang ke Malaysia.
“Kita sensitif dengan reaksi mereka apatah lagi dua pintu masuk darat di Johor merupakan laluan sempadan antarabangsa paling sibuk di dunia,” katanya. – KOSMO! ONLINE.