fbpx

Felix bikin Atletico tanggung malu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FELIX (dua dari kanan) meledak gol kemenangan Barcelona menewaskan Atletico 1-0 pada aksi La Liga di Camp Nou awal pagi semalam. – AFP

BARCELONA – Bintang pinjaman Barcelona, Joao Felix menambah derita Atletico Madrid apabila meledak gol kemena­ngan 1-0 untuk menewaskan bekas kelabnya itu dalam pertemuan kedua-dua pasukan pada ­saingan La Liga di Stadium Camp Nou awal pagi semalam.

Sebelum perlawanan bermula, Felix, 24, dikritik hebat oleh beberapa pemain Atletico disebabkan kenyataannya tidak gembira bermain corak taktikal bertahan yang diterapkan ketua jurulatih kelab itu, Diego Simeone.

Bagaimanapun, pengendali Barcelona, Xavi Hernandez tampil mempertahankan Felix apabila mendedahkan pemain sayap Portugal itu sudah kembali menikmati permainan terbaik­nya sejak dipinjamkan ke Camp Nou sehingga akhir musim ini.

“Felix memberitahu motivasi­nya begitu tinggi untuk menghadapi perlawanan ini. Dia kekal tenang dan menganggap aksi ini sama seperti perlawanan-perlawanan lain.

“Dia mahu membuktikan sesuatu dalam perlawanan ini sama ada menjaringkan gol atau membantu mencipta gerakan ja­ringan. Saya amat gembira ke­rana dia berjaya memenanginya buat kami,” katanya.

Felix meledak gol tunggal perlawanan selepas melakukan percubaan lambung menarik hasil hantaran daripada Raphinha untuk menewaskan penjaga gol Atletico, Jan Oblak pada minit ke-28.

Kemenangan itu memboleh­kan The Catalans memintas Atletico untuk berada di tangga ketiga dengan 34 mata dan hanya ketinggalan empat mata di belakang pasukan tangga teratas, Real Madrid dan Girona di tempat kedua.

Juara Sepanyol itu berpeluang merapatkan jurang kepada satu mata jika berjaya menewaskan Girona dalam perlawanan La Liga seterusnya di Camp Nou pada 11 Disember ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN