MANCHESTER – Penggempur utama Manchester City, Erling Haaland hilang pertimbangan dan berang selepas pasukannya sekadar terikat 3-3 menentang Tottenham Hotspur di Etihad awal pagi semalam.
Haaland tidak berpuas hati dengan keputusan dibuat oleh pengadil perlawanan, Simon Hooper apabila menghentikan perlawanan tanpa memberikan kelebihan kepada City ketika dia berjaya melakukan umpanan menarik yang mampu disudahkan oleh Jack Grealish.
Ketika perlawanan memasuki masa kecederaan dan perlawanan terikat, City cuba melakukan serangan terakhir apabila Haaland dijatuhkan oleh pemain Spurs sebelum Haaland segera bangun dan melakukan hantaran buat Grealish yang hanya berdepan satu lawan satu dengan penjaga gol, Guglielmo Vicario.
Keputusan itu menyaksikan City buat kali pertama dalam tempoh enam tahun selepas kali terakhir 2017 apabila mereka gagal meraih kemenangan dalam tiga perlawanan berturut-turut.
Pengendali City, Pep Guardiola enggan melemparkan kritikannya terhadap Hooper dan enggan terjerat dalam kontroversi seperti yang dihadapi Pengurus Arsenal, Mikel Arteta ketika mengkritik pengadil sewaktu menentang Newcastle United sebelum ini.
“Sukar untuk dijelaskan selepas anda melihat semula situasi itu. Pengadil membuat keputusan untuk meniup wisel selepas beliau memberi arahan untuk meneruskan aksi sebelum itu.
“Saya faham bahawa Haaland sangat kecewa. Jika pengadil itu sendiri bermain untuk City pada aksi kali ini, saya percaya beliau juga akan kecewa dengan keputusan sebegitu,” katanya.
Pada aksi tersebut, Spurs terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi gol sendiri Son Heung-min sebelum dia memberikan gol penyamaan kepada City selepas tertampan bola ke gawang sendiri.
City kemudian berada di hadapan menerusi Phil Foden dan Spurs sekali lagi menyamakan kedudukan menerusi Giovani Lo Celso dan Grealish meledak gol ketiga sebelum Dejan Kulusevski menyelamatkan maruah pasukan pelawat. – AGENSI