KUALA LUMPUR – Pengurangan kompaun saman trafik sehingga 50 peratus akan dilaksanakan sempena Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, pada 8 hingga 10 Disember ini.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, tawaran pengurangan kompaun itu tidak termasuk kesalahan lalu lintas bagi 2023.
Menurut beliau, antara lain kesalahan yang tidak termasuk pengurangan kompaun adalah saman kemalangan, kes mahkamah berstatus waran tangkap atau masih dalam perbicaraan dan kesalahan tidak boleh dikompaun.
“Pembayaran kompaun hanya boleh dibuat di kaunter semakan dan pembayaran saman trafik di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil.
“Bermula dari pukul 9 pagi hingga 4 petang pada 8 Disember (Jumaat) dan dari 9 pagi hingga 6 petang pada 9 dan 10 Disember (Sabtu dan Ahad),” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Jelas Azman, orang ramai digalakkan untuk membuat semakan awal saman yang dimiliki terlebih dahulu menerusi portal dan aplikasi MyBayar PDRM sebelum hadir ke kaunter bayaran saman.
“Ia bagi mengelakkan kesesakan dan melancarkan proses pembayaran saman,” katanya.-KOSMO! ONLINE.