fbpx

K2

Didik kanak-kanak tentang perubahan iklim menerusi kartun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NIK NAZMI (tengah) melancarkan animasi bertajuk SAFE STEPS Kids Climate Change di Kuala Lumpur baru-baru ini.

KARTUN merupakan antara medium terbaik dan paling berkesan untuk mendidik sesiapa sahaja terutama kanak-kanak untuk lebih memahami sesuatu topik atau isu.

Sebagai salah satu usaha untuk mendidik kanak-kanak tentang perubahan iklim, yayasan pelaburan komuniti milik syarikat Prudential iaitu Yayasan Prudence baru-baru ini melancarkan satu siri animasi baharu daripada program SAFE STEPS Kids, bertajuk SAFE STEPS Kids Climate Change.

Program SAFE STEPS Kids terlebih dahulu dilancarkan pada tahun 2019, namun kali ini memberi penekanan terhadap perubahan iklim dengan menggunakan watak kartun digemari ramai seperti ‘We Bare Bears’ dan ‘Gumball’ yang bertujuan mendidik kanak-kanak tentang perubahan iklim serta tindakan mudah yang boleh diambil untuk menjadikan planet ini lebih sihat dan selamat.

Program tersebut telah dibangunkan dengan kerjasama International Federation of Red Cross dan Red Crescent Societies (IFRC), Warner Bros. Discovery serta Cartoon Network. Di Malaysia, ia dilaksanakan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia.

Siri animasi baharu itu menyediakan maklumat yang mampu menyelamatkan nyawa kepada kanak-kanak melalui video-video yang menghiburkan dan bahan pendidikan yang menampilkan watak Cartoon Network yang digemari ramai.

SAFE STEPS Kids menyasarkan untuk menyelamatkan jutaan nyawa dengan mendidik orang ramai sejak usia muda serta membantu untuk mewujudkan generasi masa hadapan yang bersedia dan berdaya tahan terhadap situasi yang mengancam nyawa.

Siri animasi itu telah dilancarkan di Kuala Lumpur pada 2 Oktober lalu dengan dirasmikan oleh Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Pengarah Eksekutif Prudence Foundation, Marc Fancy.

Nik Nazmi berkata, perubahan iklim merupakan isu sedia ada bagi generasi sekarang dan generasi akan datang.

“Kegigihan dan semangat golongan muda adalah amat penting dalam membantu dunia mengatasi kesannya.

“Justeru, kami berasa bangga untuk memperkenalkan kerjasama ini yang akan mendidik kanak-kanak untuk mengatasi dan memberi tindak balas terhadap cabaran global dengan menggabungkan tindakan-tindakan yang mudah tetapi memberi kesan ke dalam kehidupan harian mereka,” katanya.

Sementara itu, Fancy memberitahu, misi Yayasan Prudence adalah untuk mencipta masa hadapan yang lebih baik untuk komuniti yang mudah terdedah kepada ancaman di seluruh dunia.

“Perubahan iklim memberikan kesan kepada semua lapisan masyarakat, terutamanya kanak-kanak yang mudah terdedah kepada ancaman ini.

“Kami percaya bahawa tindakan mendedahkan kanak-kanak tentang iklim dan kepentingan melindungi alam sekitar sejak usia muda adalah sangat penting bagi memupuk rasa tanggungjawab, meningkatkan pemahaman terhadap apa yang sedang berlaku di dunia dan sekeliling mereka serta bagaimana perubahan iklim akan mempengaruhi mereka sepanjang hayat,” katanya.

Fancy juga memberitahu, kartun merupakan medium yang berkesan untuk menyampaikan empati dan juga pemahaman kepada umum.

“Biarpun kartun adalah merupakan satu bentuk hiburan, namun ia memainkan peranan penting dalam membentuk tabiat, pendapat dan juga sebagai pengaruh kepada kanak-kanak.

“Melalui program SAFE STEPS Kids ini, kami berharap dapat mendidik dan memperkasa generasi muda menjadi aset yang berharga untuk memerangi perubahan iklim,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI