ALOR SETAR – “Saya terkilan kerana tidak ada sepatah perkataan maaf pun daripada pemandu lori tanah yang merempuh kereta dinaiki isteri dan ibu mentua sehingga meragut nyawa mereka semalam.”
Demikian luah Ismail Mohamad, 28, suami Nadzifah Abu Seman, 28, yang terbunuh dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Kolon, Pokok Sena di sini kelmarin.
Kemalangan kira-kira pukul 9.55 pagi itu turut meragut nyawa ibu Nadzifah, Romadiah Ismail, 65.
Menurut Ismail, dia pergi ke lokasi kejadian ketika mayat isterinya yang hamil lima bulan dan ibu mentua dikeluarkan dari kereta jenis Perodua Bezza oleh anggota bomba.
“Saya nampak pemandu lori itu tetapi tidak ada sepatah pun perkataan maaf dari dia,” katanya dalam nada sedih.
Katanya, dia berharap polis dapat melakukan siasatan lanjut berhubung kejadian dan pemandu lori terbabit dikenakan tindakan sewajarnya.
“Saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan lanjut,” ujarnya.
Sementara itu, dia mendakwa kebanyakan lori yang menggunakan jalan itu sering dipandu laju dan secara zig zag.
“Mungkin ada yang mahu kejar trip dan sebagainya,” katanya.
Dalam pada itu, pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Syed Basri Syed Ali memberitahu, pemandu lori itu telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya diambil.
Semalam Kosmo! melaporkan keterujaan seorang suami untuk menimang cahaya mata sulung berakhir apabila isterinya yang hamil lima bulan maut dalam kemalangan membabitkan lori tanah dan tiga kendaraan di Jalan Kolon, Pokok Sena.