SUNGAI PETANI – Kebakaran besar tiga gudang penyimpanan barangan terpakai di Kampung Baru, Bukit Selambau di sini kelmarin ternyata mengejutkan penduduk ekoran api menjulang tinggi hingga boleh dilihat sejauh 400 meter selain letupan kuat seperti kapal terbang mendarat.
Norehan Hasan, 45, berkata, kebakaran gudang logam tembaga, wayar dan bateri pada pukul 7.57 malam itu berlarutan lebih lima minit.
Katanya, kejadian itu menyebabkan dia cemas dan tidak tentu arah kerana bunyi letupan kuat dan dentuman seperti bunga api.
“Ketika itu saya sedang makan malam dan terkejut apabila mendengar bunyi letupan kuat. Saya terus hubungi bomba sebaik melihat api kebakaran menjulang tinggi melepasi pokok kelapa,” katanya di sini semalam.
Sementara itu Penduduk Kampung Penghulu Tua, Rosnani Shaari, 54, berkata, kebakaran itu dapat dilihat dengan jelas dari rumahnya yang terletak 400 meter dari kilang berkenaan.
“Pada mulanya ingat Sekolah Kebangsaan Bukit Selambau yang terbakar, namun selepas melihat percikan bunga api dan letupan kami dapati sebuah kilang kitar semula yang terlibat dalam kejadian kebakaran itu,” katanya.
Jirannya, Normah Che Noor, 60, pula berkata, dia menyangka bunyi letupan kuat yang didengari selepas selesai menunaikan solat maghrib itu ialah latihan tembakan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) memandangkan kedudukan pusat latihan pasukan itu terletak tidak jauh dari lokasi kejadian.
“Bila dengar banyak kali letupan saya bertanya suami kenapa latihan menembak oleh anggota Rela tak habis-habis lagi, namun suami juga kehairanan.
“Saya dan suami juga ke lokasi dan mendapati rupanya sebuah kilang terbakar,” katanya.
Seorang lagi penduduk dari Perumahan Awam Bukit Selambau, Shariza Mohd Sharif, 46, berkata, bunyi kuat letupan itu seperti enjin kapal terbang yang mahu mendarat.