KOTA BHARU – Pemandu kereta jenis Honda Jazz yang terbabit nahas di Kilometer 69, Jalan Kota Bharu-Gua Musang minggu lalu disahkan meninggal dunia pagi tadi selepas lapan hari bertarung nyawa di hospital.
Mangsa, Wan Shahrizat Azwan Wan Shahril, 28, yang melecur 80 peratus pada anggota badannya dalam kemalangan pada 27 November lalu meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini pukul 10.45 pagi.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintendan Kamarulzaman Harun arwah sebelum ini dirawat di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai sebelum dipindahkan ke HRPZ II atas permintaan ahli keluarganya.
“Mangsa ketika itu masih kritikal dan dipantau rapi oleh doktor selain perlu bergantung sepenuhnya dengan mesin bantuan pernafasan.
“Selepas lapan hari bertarung nyawa, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di unit rawatan rapi HRPZ II,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
Kosmo! sebelum ini, melaporkan konvoi tiga kenderaan berakhir dengan tragedi selepas bayi perempuan berusia tujuh bulan rentung, manakala bapanya melecur 80 peratus selepas kereta dinaiki terbabas di Kilometer 69, Jalan Kota Bharu-Gua Musang di sini pada 27 November lalu.
Dalam kejadian pukul 4 pagi itu, bayi tersebut, Wan Sabeena Arisha Wan Shahrizat, bapanya, Wan Shahrizat Azwan Wan Shahril, 28, dan ibunya, Norhasidah Razmi, 25, dalam perjalanan ke Kota Bharu.
Siasatan mendapati kereta itu hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan. Akibat pelanggaran itu, kenderaan tersebut terbakar 100 peratus menyebabkan seorang bayi berusia tujuh bulan rentung,” katanya. – KOSMO! ONLINE