JEMPOL – Mahkamah Majistret Bahau, di sini, hari ini mengenakan denda RM4,000 masing-masing terhadap lima warga Thailand yang juga tukang urut di sebuah premis di daerah ini atas kesalahan menyundal Oktober lalu.
Majistret, Norshazwani Ishak memutuskan hukuman berkenaan selepas lima tertuduh, Uraiwan Pranomsri; Plumchit Multongka; Weena Chitarka; Suthirak Machalerm dan Kanittha Udtib berusia lingkungan 25 hingga 41 tahun mengaku bersalah atas tuduhan terbabit yang dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa.
Majistret turut menetapkan lima bulan penjara sekiranya tertuduh gagal menjelaskan bayaran denda berkenaan.
Selain pertuduhan menyundal, kelima-lima tertuduh yang sama turut didenda sebanyak RM1,000 setiap seorang kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial.
Bagi pertuduhan berkenaan, Majistret menetapkan denda sebanyak RM1,000 dan jika gagal bayar, tiga bulan penjara.
Berdasarkan pertuduhan menyundal, pada 18 Oktober lalu kira-kira pukul 5 petang bertempat di sebuah premis telah mencari langganan bagi tujuan tersebut (menyundal).
Kesalahan mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Bagi pertuduhan lain pula, pada waktu, tarikh dan masa kesemuanya telah didapati melanggar syarat pas lawatan sosial dengan bekerja sebagai tukang urut.
Oleh itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan -Peraturan Imigresen 1963 yang boleh didenda tidak lebih daripada RM1,000 atau penjara tidak lebih daripada enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farahidah Zool Beri, manakala tertuduh diwakili peguam Roslaili Alias. -KOSMO! ONLINE.