GEORGE TOWN – Sebanyak enam buah syarikat korporat melaksanakan bayaran zakat perniagaan kepada Zakat Pulau Pinang (ZPP) yang keseluruhannya berjumlah RM1.17 juta, hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Amran Hazali berkata, ZPP mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada semua pembayar-pembayar zakat korporat yang sentiasa terus bersama-sama ZPP.
“Syarikat terlibat terdiri daripada Koperasi Tunas Muda Sungai Ara dan subsidiari yang membayar zakat berjumlah RM640,521.79; Co-opbank Pertama Malaysia Berhad (RM464,742) dan Affin Islamic Bank Berhad (RM250,000).
“Selain itu, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) turut membayar zakat korporat berjumpah (RM111,105.53); Perda Ventures Incorporated Sdn. Bhd. (RM105,276.87) dan Bank Pertanian Malaysia Berhad (Agrobank) berjumlah RM100,326.25,” katanya pada majlis bayaran zakat korporat dan serahan zakat dalam bentuk geran kepada hospital tahun 2023 di sini.
Majlis berkenaan turut menyaksikan ZPP mengagihkan geran tahunan zakat pada tahun 2023 kepada lima buah hospital dan sebuah klinik kesihatan yang keseluruhannya berjumlah RM142,000.
Amran berkata, pengagihan geran itu yang saban tahun dilakukan adalah bagi meringankan bebanan pesakit beragama Islam yang kurang berkemampuan dan memerlukan pembiayaan bagi menjalani rawatan di hospital dan ia diuruskan oleh Jabatan Kerja Sosial Perubatan.
“Hospital yang menerima agihan zakat dalam bentuk geran adalah Hospital Pulau Pinang berjumlah RM80,000; Hospital Seberang Jaya (RM35,000); Hospital Bukit Mertajam (RM10,000); Hospital Kepala Batas (RM10,000); Hospital Sungai Bakap (RM5,000) dan Klinik Kesihatan Barat Daya (RM2,000).
“ZPP berharap hubungan dan kerjasama strategik ini akan dapat meningkatkan kualiti kesihatan para asnaf dalam mendapatkan rawatan dan perubatan terbaik di hospital dan klinik di Pulau Pinang,” katanya.
ZPP telah mencapai usia 29 tahun tahun ini dengan menjadi amil kepada masyarakat Muslim di Pulau Pinang sebagaimana yang diamanahkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP). -KOSMO! ONLINE