KUALA LUMPUR – Kes saman antara Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dengan peguam terkemuka Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhubung cukai pendapatan berjumlah RM9.41 juta sedang dalam proses penyelesaian di Mahkamah Tinggi.
Bagaimanapun dalam prosiding hari ini, peguam Datuk Seri Rajan Navaratnam, yang mewakili Muhammad Shafee memberitahu pihak-pihak memohon penangguhan kerana terdapat perkembangan terbaharu. (menyelesaikan saman).
Justeru Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain kemudian membenarkan penangguhan dan menetapkan 15 Disember ini untuk mendengar perkembangan penyelesaian kes sekiranya ada.
“Jika tiada penyelesaian, saya perlu meneruskan kes ini. Kes ini sudah cukup lama,” katanya.
Hari ini sepatutnya adalah pendengaran berhubung penghakiman terus LHDN terhadap Muhammad Shafee berkaitan jumlah tunggakan tersebut.
Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan dan afidavit tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.
Sementara itu, Peguam Hasil Kanan Al-Hummidallah Idrus yang mewakili LHDN ketika ditemui selepas prosiding berkata defendan (Muhammad) menghantar cadangan penyelesaian pada bulan lepas (November) dan LHDN membalas cadangan itu pada bulan yang sama.
Pada 28 September 2021 media melaporkan
Kerajaan Malaysia melalui Lembaga LHDN telah memfailkan penghakiman terus berhubung saman tersebut terhadap Muhammad Shafee.
Antara alasan permohonan penghakiman terus itu ialah LHDN berhak untuk mendapatkan kembali jumlah cukai pendapatan dan kenaikan-kenaikan tertunggak yang dikenakan ke atas defendan sebagai satu cukai yang genap masanya dan kena dibayar.
Dalam pada itu, Subseksyen 106(1) ACP 1967 pula dengan jelas memperuntukkan bahawa
baki cukai pendapatan serta kenaikan-kenaikan yang tertunggak boleh didapatkan kembali sebagai suatu cukai yang genap masanya dan perlu dibayar oleh defendan.
Justeru suatu perakuan di bawah Subseksyen 142(1) ACP 1967 yang ditandatangani oleh Ketua Penolong Pengarah yang menyatakan nama dan alamat defendan amaun tunggakan cukai yang genap masanya untuk dibayar oleh defendan adalah menjadi keterangan yang mencukupi kepada mahkamah untuk memberi penghakiman bagi amaun cukai yang dinyatakan di dalam perakuan tersebut.
Menurut plaintif dalam notis permohonan itu defendan tiada pembelaan dan tiada isu untuk dibicarakan di dalam tindakan ini.
Pada 6 Mei lalu, kerajaan Malaysia LHDN memfailkan saman terhadap peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menuntutnya membayar cukai pendapatan berjumlah RM9.41 juta.
Kerajaan Malaysia selaku plaintif memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan melalui LHDN di Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan Muhammad Shafee, 69, sebagai defendan bagi tunggakan cukai itu selama lima tahun.
Berdasarkan penyataan tuntutan yang diperoleh menerusi sistem mahkamah (e-filing), Kerajaan Malaysia mendakwa bagi Tahun-tahun Taksiran 2011, 2012, 2013, 2014, 2016, defendan telah ditaksirkan dengan taksiran tambahan masing-masing berjumlah RM621,291.85, RM978,854.11, RM3,581,500, RM1,735,124.03 dan RM1,826,557,87 melalui Notis-notis taksiran (tambahan) bertarikh 27 Mei 2019.
Dakwa plaintif, sehingga kini defendan masih gagal membayar kepada plaintif amaun cukai pendapatan defendan yang masih terhutang dan genap masanya dan perlu dibayar bagi Tahun-tahun Taksiran 2011, 2012, 2013, 2014 dan 2016 termasuk kenaikan-kenaikan yang dikenakan ke atasnya, kesemuanya berjumlah RM9,414,708.32. – KOSMO! ONLINE