RANTAU PANJANG – Penduduk di Kampung Tersang di sini yang sudah pulang ke rumah pada Rabu lalu terpaksa berpindah semula ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tok Deh di sini semalam.
Kesemua mereka terpaksa berpindah ke PPS apabila air Sungai Lanchang dekat sini melimpah susulan hujan berterusan melanda kawasan itu sejak berapa hari lalu.
Ramlah Mohamad, 65, berkata, dia sudah lali berpindah ke pusat pemindahan berulang kali selagi musim tengkujuh belum berakhir.
“Air banjir bertakung di kawasan rumah saya setinggi 0.7 meter disebabkan limpahan air dari Sungai Lanchang.
“Kami paling takut sekiranya air Sungai Golok melepasi paras amaran kerana ia akan bertembung sekali gus menyebabkan banjir besar seperti tahun-tahun sebelum ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Ramlah memberitahu, kemungkinan berlaku banjir gelombang kedua yang lebih teruk akan berlaku apabila Sungai Golok melepasi paras bahaya.
“Kami akan berpindah apabila air mencecah lantai. Keadaan itu sudah tidak selamat untuk berada dalam rumah kerana banyak binatang berbisa.
“Jika air Sungai Golok melimpah selepas ini, air boleh naik ke paras bumbung rumah kami sama seperti tahun-tahun lalu,” ujarnya.
Sementara itu, Mek Yam Ahmad, 80, berkata, meskipun banjir kelihatan surut beberapa hari lalu, dia masih berlindung di PPS SK Gual Tok Deh kerana bimbang air naik lagi.
Dia antara mangsa bah terawal berpindah pada 23 November lalu.
“Kebiasaannya, saya akan berada selama sebulan di PPS. Saya akan pulang selepas gelombang ketiga banjir,” katanya yang tinggal di Kampung Bendang Perol di sini.