fbpx

Sorok minyak masak peket, peniaga berhadapan denda RM1 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota penguat kuasa KPDN memeriksa minyak masak paket 1kg yang disorok peniaga terbabit premisnya di Desa Chepor Indah, Chemor, Ipoh semalam. - Foto IHSAN KPDN

IPOH – Seorang peniaga berdepan tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 selepas didapati menyorok minyak masak peket bersubdisi yang merupakan barang kawalan di sebuah premis di Desa Chepor Indah, Chemor di sini semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, tindakan menyorok minyak masak peket itu dikesan dilakukan peniaga tersebut oleh sepasukan penguatkuasanya.

Beliau berkata, serbuan kira-kira pukul 12.04 tengah hari itu adalah hasil aduan orang awam yang mengadu peniaga itu enggan menjual minyak masak peket kepada warga tempatan, namun warga asing boleh membelinya.

“Satu tindakan penyamaran melalui Ops Samar telah dilakukan oleh pegawai penguat kuasa KPDN. Pegawai yang menyamar sebagai pembeli tempatan ini telah melakukan uji beli minyak masak peket tetapi peniaga tersebut memaklumkan bahawa minyak masak sudah habis dijual.

“Curiga dengan kenyataan peniaga tersebut, sepasukan penguat kuasa KPDN Perak telah bertindak melakukan pemeriksaan menyeluruh ke atas kedai runcit tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kamalludin berkata, hasil pemeriksaan tersebut telah berjaya menemui sebanyak lima kotak minyak masak peket 1 kilogram (kg) yang diletakkan di tepi kaunter dan di bahagian belakang premis.

Menurut beliau, seorang wanita tempatan berumur 37 tahun yang mengaku sebagai pemilik premis gagal memberikan jawapan jelas kenapa minyak tersebut tidak dijual kepada pembeli, malah memaklumkan bahawa minyak masak telah habis apabila diminta.

“Pemantauan yang dilakukan ke atas premis juga mendapati kedai runcit yang beroperasi bermula pukul 8 pagi hingga 9 malam ini sering dikunjungi oleh warga asing.

“Sehubungan itu, tindakan sitaan telah dilakukan ke atas barang kawalan tersebut iaitu sebanyak 90 peket minyak masak 1kg serta salinan lesen runcit barang kawalan (CSA), salinan lesen pendaftaran syarikat (SSM) dan dokumen yang berkaitan. Nilai sitaan dianggarkan berjumlah RM225,” katanya.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16A(1)(b) iaitu enggan menjual barang kawalan kecuali dengan kebenaran Pengawal atau mana-mana pengawal bekalan yang diberi kuasa oleh Pengawal secara bertulis.

“Jika sabit kesalahan seseorang selain dari badan korporat boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau tidak melebihi tiga tahun penjara atau kedua-duanya.

“Bagi mana-mana badan korporat yang melakukan suatu kesalahan terhadap akta ini apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM2 juta,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI