fbpx

Politeknik medan latihan kemahiran, pemerkasaan TVET

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid

PUTRAJAYA – Rancangan Hala Tuju Transformasi Politeknik 2023-2030 merupakan tindak balas dan sambutan sektor pendidikan tinggi kepada keperluan pasaran kerja negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut beliau, berbekalkan landskap semasa, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengambil inisiatif menyusun dan melonjak semula kekuatan politeknik dengan mensasarkan beberapa matlamat secara jelas.

“Pertama, kita mahu politeknik menjadi medan dan pemain utama untuk latihan kemahiran dan pemerkasaan pengajian Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sekali gus menjadi pilihan dan alternatif yang berdaya saing dalam ekosistem pendidikan tinggi.

“Kedua, kita mahu membuka ruang untuk penyertaan dan penglibatan pihak industri, pusat kecemerlangan dan penyelidikan untuk menjadi sebahagian daripada pemacu aktif dalam pendidikan tinggi.

“Ketiga, ini merupakan usaha pengukuhan kebolehpasaran graduan yang sistematik dan bersifat langsung,” katanya ketika berucap merasmikan Peluncuran Rancangan Hala Tuju Transformasi Politeknik 2023-2030 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, transformasi berkenaan adalah satu proses mengoptimumkan bakat, potensi serta peluang negara untuk menjadi maju dan berdaya saing melalui lapangan TVET.

Katanya lagi, lanjutan daripada pelancaran pelan hala tuju serta transformasi politeknik ini, semua pihak mesti bekerjasama dan menggembleng kekuatan masing- masing dengan lebih bersepadu untuk menjayakannya.

“Peranan Sekretariat Majlis TVET Negara (MTVET) adalah sangat kritikal. Terutamanya bagi memastikan kejayaan inisiatif dan hala tuju TVET negara melalui penyelarasan dasar-dasar di peringkat nasional merentas 12 kementerian,” ujarnya.

Jelas beliau, transformasi politeknik mesti dijayakan berikutan wujudnya cabaran abad ke-21 seperti gelombang Revolusi Industri (IR 4.0), penggunaan ‘Internet of Things’, teknologi kecerdasan buatan (AI), pendigitalan serta teknologi-teknologi disruptif. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI