fbpx

Maqis tahan 33.9 tan kayu ada serangga perosak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pegawai Maqis mengambil sampel serangga yang ditemui dalam kontena berisi kayu di NBCT, hari ini.

SEBERANG PERAI – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang menahan 33.9 tan metrik kayu jenis ‘Pencil Cedar Baulks’ (palaquium warburgianum pencil) dari Papua New Guinea di Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth (NBCT) di sini, semalam.

Pengarahnya, Muhammad Ikram Abd. Talib berkata, bahan dagangan yang dianggarkan bernilai RM186,000 itu ditahan hasil pemeriksaan rutin yang dijalankan pasukannya.

“Ketika pemeriksaan dijalankan, pegawai Maqis telah menemui serangga perosak pada dagangan kayu berkenaan di dalam sebuah kontena.

“Prosedur pintasan dan persampelan telah dijalankan terhadap konsainan itu dan sampel terbabit dihantar ke Makmal Biosekuriti Tumbuhan Jabatan Pertanian,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, keputusan Analisa Penyaringan Perosak mendapati spesies ditemui adalah jenis Long-horned beetle (Chloridolum dorycum) yang merupakan spesies serangga perosak berisiko tinggi terhadap komoditi pertanian negara.

“Perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian, tumbuhan, binatang, karkas, ikan, tanih dan mikroorganisma yang mempunyai perosak adalah suatu kesalahan di bawah seksyen 14 Akta Perkhidmatan Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

“Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Ikram berkata, pihak Maqis sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan di semua pintu masuk negara bagi menyekat kehadiran perosak yang boleh merebak dan menyebabkan penularan yang merbahaya terhadap industri pertanian negara bagi memastikan keselamatan makanan terjamin dan selamat di negara ini. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI