Saudara Pengarang,
SESI persekolahan sudah sampai ke penghujung tahun walaupun sesi sebenar tamat pada Februari tahun hadapan.
Selalunya, para guru pada hujung tahun akan ternanti-nanti surat pertukaran terutama mereka yang mengajar di sekolah murid Orang Asli di kawasan pedalaman.
Gelodak hati mereka tiada siapa yang tahu. Bagaimana perasaan kumpulan tersebut yang sudah memohon berkali-kali untuk keluar dari kawasan pedalaman, tetapi tidak berjaya.
Sampai masanya guru-guru yang mengajar di kawasan pendalaman melebihi 10 tahun perlu dibawa keluar sama ada mereka memohon untuk pertukaran ataupun tidak. Berilah peluang kepada mereka untuk mengembangkan kemahiran dan kebolehan di sekolah lain pula.
Kasihanilah mereka yang terpaksa berjauhan dengan keluarga kerana sekolah pedalaman tidak mempunyai kemudahan untuk membolehkan mereka berulang-alik setiap hari.
Pegawai di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) perlu melihat perkara ini sebagai keutamaan tugas mereka. Buat analisis yang teliti mengenai berapa ramai guru yang terperap sekian lama di sekolah pedalaman.
Keluarkan mereka dari pedalaman dan jangan biarkan mereka terlalu lama di sesebuah sekolah sehingga tumbuh akar.
Apabila sudah berakar akan menyukarkan guru besar ingin membuat perubahan kerana kononnya mereka lebih tahu.
Sekiranya guru tersebut ada kehebatannya di situ, biarkan dia mempamerkan kehebatannya di sekolah lain pula. Lama-lama sangat di sesebuah sekolah nanti tepu dan layu pula.
Selain itu, kekosongan itu perlu diisi oleh guru-guru baharu. Berikan mereka pengalaman di sekolah pedalaman dan di sekolah murid Orang Asli.
Pengalaman itu nanti akan menjadi ilmu kepada mereka sebagai pemimpin pelapis masa depan.
BURUNG KAKAK TUA
Pahang Darul Makmur.