PETALING JAYA – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), yang diketuai oleh Timbalan Ketua Perangkawan, Program Ekonomi, Datin Seri Rozita Talha telah mewakili negara di Mesyuarat Jawatankuasa Sistem Statistik Komuniti ASEAN Ke-13 (ACSS13) di Jakarta pada 22 hingga 24 November lalu.
Mesyuarat berkenaan yang dihoskan oleh Badan Pusat Statistik, Indonesia dengan sokongan Sekretariat ASEAN menghimpunkan Ketua Pejabat Statistik Kebangsaan ASEAN, organisasi antarabangsa dan rakan pembangunan.
ACSS diwujudkan pada 2011 dalam usaha menyediakan statistik ASEAN yang relevan, tepat pada masanya selain setanding bagi menyokong pemantauan integrasi ASEAN dan pembuatan keputusan serta dasar berasaskan bukti.
Mengetengahkan tema ‘Mengemudi Perangkaan Rasmi ke arah ASEAN sebagai Pusat Gempa Pertumbuhan’, ACSS13 diadakan serentak dengan pelancaran Hab Serantau PBB mengenai Data Raya dan Sains Data untuk Asia dan Pasifik di Indonesia, serta pembukaan Persidangan Sains Data dan Statistik Rasmi (ICDSOS) pada 24 November lalu.
DOSM dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini berkata, penyertaan negara dalam ACSS adalah untuk menyediakan input dan maklum balas bagi Pelan Strategik ACSS 2021-2025, Pelan Kerja Tahunan (AWP), kemajuan dalam penyelarasan data dan isu lain yang berkaitan dengan pembangunan statistik.
“Pelan Strategik ACSS adalah rangka kerja yang disediakan untuk mengukuhkan mekanisme dan sistem perangkaan ASEAN melalui pelan pelaksanaan strategik untuk tempoh lima tahun.
“Ia bertujuan untuk memastikan keberkesanan koordinasi, pengeluaran, penyelarasan, penyebaran dan komunikasi statistik dalam negara anggota ASEAN serta negara ASEAN.
“Terdapat empat strategi utama untuk memenuhi keperluan data komuniti ASEAN dengan lebih baik iaitu melalui kerjasama statistik, pembinaan kapasiti dan sumbangan kepada pembangunan di peringkat global,” katanya.
Perwakilan ACSS Malaysia telah membuat pembentangan semasa Agenda 10: Sesi Perkongsian Pengalaman Kebangsaan mengenai topik ‘Strategi dan Respons Malaysia terhadap Perubahan Dinamik Ekonomi di ASEAN sebagai Pusat Pertumbuhan’.
Selain itu, Malaysia sebagai Pengerusi Kumpulan Kerja untuk Sistem Akaun Kebangsaan bagi tahun 2021-2024 turut membentangkan kemajuan/pelaksanaan aktiviti sepanjang tahun 2023. -KOSMO! ONLINE