fbpx

IG Warner Music diserang ‘tentera bawang’ Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAKA AZRAFF menerima sokongan tidak berbelah bahagi peminat selepas kontraknya dengan Warner Music Malaysia ditamatkan hanya kerana lantang memperjuangkan nasib rakyat Palestin.

PETALING JAYA – Gara-gara spekulasi penamatan kontrak penyanyi Kaka Azraff akibat lantang memperjuangkan Palestin, laman sosial syarikat rakaman Warner Music Malaysia berdepan serangan netizen.

Rata-rata meminta orang ramai memboikot label yang disifatkan pro-Israel itu selain mendesak anak syarikat kepada Warner Music Group yang ditubuhkan pada 1978 menutup operasi mereka di negara ini.

Malah, kemarahan peminat turut dizahirkan dengan meninggalkan komen pada setiap hantaran dalam Instagram label antarabangsa terbabit.

Bukan hanya meminta pihak berkenaan keluar dari negara ini, bahkan ada dalam kalangan netizen meminta lesen syarikat itu segera ditamatkan.

“Keadilan untuk Kaka. Bebaskan Palestin. Warner Music menyokong pembunuhan beramai-ramai,” tulis netizen.

“Tutup syarikat anda di sini, kami tidak memerlukan anda,” kata seorang pemilik akaun lain.

Tamatkan lesennya, itu saja yang harus dilakukan. Jangan mahu dipijak-pijak kepala,” ujar seorang lagi pemerhati.

Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff, 34, sebelum ini mengirim mesej langsung (DM) mengecam pempengaruh dan pelakon Australia yang pro-Israel, Nathaniel Buzolic.

Tindakannya meraih perhatian pempengaruh popular itu apabila memuatnaik semula tangkap layar butiran mesejnya.

“Kerana Israel adalah orang yang memulakan (perang). Israel mencuri tanah mereka dan kini bertindak seperti mereka mangsa?” tulisnya.

Gara-gara kenyataan itu, bukan hanya pensohor terbabit, sebuah laman sosial di bawah nama Jew Hate Database turut menyenaraikan nama Kaka sebagai antisemitik.

Laman Instagram yang ditubuhkan bagi mendedahkan individu serta selebriti pro-Palestin untuk dimalukan turut berkempen menjatuhkan Kaka dengan berkongsi maklumat dirinya.

Dalam perkongsian mereka, penyanyi Bukan Hal Aku itu disebut sebagai ‘pembenci Yahudi’ dan pada hantaran sama turut didedahkan adalah identitinya sebagai artis yang bernaung di bawah Warner Music Malaysia.

Menerusi semakan, nama pelakon Hollywood, Susan Sarandon juga berada dalam senarai sama brrikutan kenyataan yang memihak kepada Palestin.

Terdahulu, pada 13 Oktober lalu, Warner Music Group memuat naik hantaran Instagram menyatakan sokongan terhadap Israel selain turut melabelkan Hamas sebagai kumpulan pengganas.

“Kami mengutuk serangan pengganas Hamas terhadap Israel dan pembunuhan beramai-ramai nyawa tidak berdosa.

“Kami menentang antisemitisme dan kami menyokong Israel serta komuniti Yahudi di seluruh dunia. Kami juga menentang sebarang bentuk diskriminasi dan perkauman,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, sehingga kini Kaka yang didakwa bakal digugurkan daripada kontrak sehingga 31 Disember ini meminta diberikan masa sebelum dapat mengeluarkan sebarang kenyataan.

Bersandarkan maklumat sumber terdekat, kontrak antara penyanyi terbabit dengan Warner Music Malaysia sepatutnya berakhir pada April 2024.

Pada masa sama, Warner Music Malaysia juga tidak memberikan sebarang pengesahan berhubung spekulasi yang tersebar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI