KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan dijangka mengumumkan beberapa berita baik kepada penjawat awam dan pesara pada tahun depan antaranya mengenai kenaikan gaji dan pencen.
Menteri Komunikasi Dan Digital Fahmi Fadzil berkata, beberapa keputusan telah dicapai dalam Mesyuarat Jemaah Menteri sebelum ini dan perkara tersebut akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali.
“Sebelum ini ada beberapa keputusan sudah diambil dan saya serahkan kepada Ketua Setiausaha Negara atau Perdana Menteri sendiri untuk mengumumkannya nanti.
“Dalam pada itu, ada dua perkara penting bagi mereka yang masih berkhidmat. Pertama kita telah luluskan Kertas Putih Dasar Gaji Progresif bagi pekerja di sektor swasta, insya-Allah bermula 2024 pelaksanaan gaji progresif itu kita harap akan dapat menampakkan peningkatan pendapatan bagi pekerja di sektor swasta.
“Pada masa yang sama bagi sektor awam, Perdana Menteri telah sebut sebelum ini, kita ada semak (kenaikan gaji) dan insya-Allah menjelang tahun 2024 juga, gaji penjawat awam akan naik,” katanya kepada pemberita selepas Forum Sistem Penyampaian Perkhidmatan Awam: Menjadikannya Lebih Cekap Dan Berkesan di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) di Bukit Kiara hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memaklumkan, kerajaan akan menaikkan gaji kira-kira 1.6 juta penjawat awam dalam amaun kecil buat sementara waktu melalui Belanjawan 2024 sebelum kenaikan berkala bagi setiap 10 tahun.
Tambah Fahmi, tahun 2024 adalah penting untuk kerajaan kembali merancakkan ekonomi termasuk melalui kemasukan pelaburan yang diperoleh pada 2023.
“Jadi banyak kerja-kerja yang akan bermula dan cabarannya pasti ada untuk memastikan pelaksanaan tidak terencat atau tergendala akibat proses,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.