LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta masih belum berpuas hati meskipun skuad kendaliannya mengukuhkan cengkaman selaku pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menang 2-1 ke atas Wolverhampton Wanderers di Emirates malam kelmarin.
Pengendali dari Sepanyol itu mengharapkan kemenangan lebih besar dicatatkan The Gunners memandangkan mereka mencipta banyak peluang menjaringkan gol, namun disia-siakan barisan serangan.
Selain itu, Arteta juga mengakui, pemain-pemainnya melakukan beberapa kesilapan yang tidak sepatutnya sehingga membenarkan pasukan pelawat merapatkan jurang ketika sedang mendahului 2-0.
“Secara keseluruhan, permainan kami tidak cukup sempurna, tetapi saya tetap gembira dengan apa yang dipersembahkan. Secara jujur, kami sepatutnya menang pada perlawanan hari ini (kelmarin) dengan jaringan lebih besar.
“Kami juga ada buat beberapa kesilapan dan pasukan lawan mengambil peluang untuk menghukum kami. Dalam Liga Perdana, kesilapan seperti itu perlu dielakkan kerana ia boleh memberi kesukaran kepada pasukan,” katanya.
Pada perlawanan itu, Arsenal yang turun selaku tuan rumah mendahului perlawanan 2-0 seawal minit ke-13 menerusi jaringan Bukayo Saka dan Martin Odegaard manakala gol Wolves dijaringkan Matheus Cunha pada minit ke-86.
“Saya harap kami boleh teruskan rentak kemenangan dan bermain seperti ini dalam setiap perlawanan. Itu adalah cabaran kepada semua pemain kerana selepas ini kami akan berdepan aksi penting menentang Luton,” ujar Arteta. – AGENSI