KUALA KANGSAR – Seorang penoreh getah didenda RM12,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan memiliki spesies hidupan liar yang dilindungi, tiga tahun lalu.
Tertuduh, Ahmad Yahaya, 37, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Rohaida Ishak.
Bagi pertuduhan pertama, bapa kepada seorang anak itu didakwa menyimpan seekor burung murai batu (copsychus malabaricus) manaka pertuduhan kedua dan ketiga pula dia didakwa menyimpan daging kijang (muntiacus muntjak) dan daging rusa sambar (rusa unicolor).
Kesemua haiwan tersebut iaitu hidupan liar yang dilindungi di bawah Jadual Pertama Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) tanpa kebenaran.
Dia didakwa melakukan ketiga-tiga kesalahan tersebut di sebuah rumah di Kampung Sira Panas, Bersia Lama di Gerik pada pukul 7 petang, 25 Mei 2020.
Berikutan itu, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 60(1)(a) dan Seksyen 60(1)(b) Akta 716 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau dipenjarakan bagi tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman denda minimum atas alasan mempunyai tanggungan seorang anak yang masih kecil dan bekerja sebagai penoreh getah.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Nor Hani Abdul Samat memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpas ke atas tertuduh mengambil kira kepentingan awam dan memberi pengajaran kepada tertuduh.
Nor Hani turut memohon agar hidupan liar yang disita itu dilucuthakkan kepada Perhilitan.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM4,000 bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan tertuduh dikenakan hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan. Tertuduh membayar denda tersebut. – KOSMO! ONLINE