fbpx

Demi GV10, lutut Nikki Palikat bengkak, lebam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MESKI lulut bengkak, Nikki nekad melakukan aksi 'slide' atas pentas demi memberikan persembahan terbaik.

SHAH ALAM – Demi memberikan persembahan terbaik, Nikki Palikat nekad melakukan aksi meluncur (slide)  walaupun terpaksa menahan sakit akibat lutut bengkak pada pentas separuh akhir All Stars Gegar Vaganza (GV10) semalam.

Menurut Nikki, dia mengalami kecederaan di kedua-dua  lutut sehari sebelum konsert final selepas melakukan aksi tersebut sewaktu menyampaikan lagu rock kedua berjudul Pelesit Kota nyanyian asal Search ketika sesi raptai.

“Sebenarnya aksi itu berlaku secara spontan. Kalau buat persembahan lagu rock, memang tak akan ada sebarang perancangan.

“Realitinya, lutut sudah lebam sebab saya buat aksi itu ketika sesi rehearsal (raptai) tetapi pada hari konsert saya meluncur lagi,” katanya kepada HibGlam di sini, semalam.

Nikki, 38, bagaimanapun berkata, kesakitan yang dialami tidak menghalangnya melakukan aksi tersebut sekali lagi pada  konsert separuh akhir semalam.

“Memang rasa sakit sejak hari Sabtu tetapi apabila mood rock sudah datang ditambah pula bunyi gitar solo, nekad lakukan sekali lagi.

“Tidak kisah sama ada lutut lebam atau tidak, saya redah sahaja. Memang sakit tetapi tak mengapa sebab mahu berikan persembahan terbaik,” ujarnya.

Selain Pelesit Kota, Nikki turut menyampaikan sebuah lagi lagu berjudul Gemuruh nyanyian asal Wings dan Search.

Untuk minggu separuh akhir, Nikki berjaya menduduki tempat kedua sekali gus melayakannya ke final GV10 bersama tujuh peserta lain iaitu Naqiu, Hady Mirza, Tomok, Azharina, Jaclyn Victor, Liza Hanim dan Siti Nordiana.

Pentas akhir GV10 bakal berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 10 Disember depan.

Juara GV10 bakal membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM200,000 beserta trofi. – KOSMO ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI