PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan peringkat waspada melibatkan beberapa kawasan di Pantai Timur.
MetMalaysia dalam kenyataan berkata, cuaca buruk itu dijangka berlarutan dari 6 sehingga 8 Disember atau Jumaat ini.
“Ia dijangka berlaku di Kelantan membabitkan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok, Machang dan Pasir Puteh serta keseluruhan kawasan di Terengganu.
“Bagi Pahang, amaran sama turut dikeluarkan meliputi kawasan Kuantan dan Pekan,” katanya hari ini.
Sementara itu, bagi keadaan cuaca pada petang ini MetMalaysia meramalkan Sabah dan Sarawak dilanda hujan dan ribut petir.
“Hujan berterusan dijangka berlaku di negeri Sarawak (Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah dan Bintulu) serta Sabah (Pedalaman, Pantai Barat, Tawau, Sandakan dan Kudat). – KOSMO! ONLINE