fbpx

Alanis aktif cipta kandungan tanpa abai pelajaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ALANIS bercita-cita menjadi seorang pereka fesyen.

MUTAKHIR ini pencipta kandungan ataupun content creator merupakan satu bidang yang semakin mendapat tempat di hati masyarakat terutamanya generasi muda.

Maka, tidak hairanlah ramai generasi muda memilih terlibat secara serius dalam bidang kreatif tersebut termasuk Nur Alanis Syafiqa Noor Azli, 22.

Gadis yang mesra dengan panggilan Alanis itu menjelaskan, secara jujurnya, dia langsung tidak pernah terfikir untuk menjadi seorang pencipta kandungan.

Namun begitu, dia sebenarnya sangat suka bercakap dan berkongsi apa sahaja yang diketahuinya.

“Biasanya, saya selalu berkongsi maklumat tentang produk, kafe serta pandangan peribadi tentang fesyen.

“Lama-kelamaan ada beberapa jenama yang berhubung dan meminta saya untuk review produk mereka.

“Kemudian, saya mengambil keputusan untuk cuba bidang ini supaya dapat belajar lebih banyak lagi,” katanya.

Tambahnya, dia kini bukan hanya menjadi pencipta kandungan, malah turut dilantik menjadi freelance promoter kecantikan untuk produk kecantikan Indonesia iaitu Emina Cosmetic.

Sebagai penyedia kandungan, Alanis yang juga pelajar Ijazah Sarjana Muda Seni Bina Dalaman di Universiti Sains Malaysia (USM) lebih fokus menyediakan kandungan berkaitan solekan, penjagaan kulit dan fesyen.

Biarpun terlibat dalam bidang pencipta kandungan, namun gadis kelahiran Yan, Kedah itu masih mengutamakan pengajiannya.

“Oleh itu, pembahagian masa sangat penting dalam hal ini.

“Sebagai pelajar, menyiapkan tugasan pada saat akhir sudah menjadi satu budaya yang tidak asing lagi.

“Tetapi bagi yang bekerja sambil belajar, kesukaran yang kita hadapi lebih banyak.

“Apa yang saya amalkan adalah dengan memastikan diri mengikut jadual kerja dan pelajaran supaya kedua-duanya tidak terlepas,” jelasnya.

ALANIS merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Seni Bina Dalaman, USM.

Mengulas lanjut tentang generasi muda yang memilih untuk menjadi pencipta kandungan sepenuh masa dan tidak ingin menyambungkan pengajian, Alanis berkata, ilmu sesuatu yang sangat penting.

“Jangan pernah rasa ilmu tidak penting kerana kita sendiri tidak mengetahui akan masa depan bidang pencipta kandungan ini.

“Mungkin pencipta kandungan hanya boleh stabil untuk tempoh lima tahun.

“Ini kerana untuk tahun seterusnya mungkin agak sukar kerana akan ada generasi baharu yang lebih ‘trendy’ akan terlibat sama.

“Pada ketika itu, kita harus memikirkan bagaimana untuk kekal relevan supaya orang masih kenal.

“Oleh itu, ilmu adalah sesuatu yang sangat penting kerana jika sudah tidak relevan dalam bidang ini, kita masih boleh gunakan ilmu yang ada untuk melakukan sesuatu,” terangnya.

Sementara itu, Alanis berkata, dia sebenarnya mempunyai cita-cita untuk menjadi seorang pereka fesyen kerana sangat berminat dengan bidang itu.

Bagaimanapun, arwah bapanya, Noor Azli Ahmad mempunyai impian untuk dia teruskan pengajian dalam bidang seni bina.

“Saya memilih untuk menyambung pengajian dalam bidang seni bina dalaman di USM adalah untuk memenuhi impian arwah bapa.

“Arwah bapa saya seorang yang sangat berminat dalam bidang kejuruteraan dan seni bina.

“Pada masa sama, ibu saya, Azita Kassim suka dengan benda seni dan dia sering menghasilkan produk kraf tangan.

“Saya selalu jatuh cinta dan kagum dengan hasil seni dihasilkan ibu.

“Saya memilih untuk belajar dalam bidang seni bina dalaman adalah untuk menggabungkan kedua-dua minat orang tua saya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI