KUALA LUMPUR – Skuad hoki remaja lelaki negara kini membawa bekalan keyakinan terbaik menuju ke Piala Dunia Hoki Remaja 2023 menjelang aksi pertama Kumpulan A menentang Chile di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada Selasa ini.
Ia menerusi kemenangan 1-0 ke atas India yang dianggap antara pasukan pilihan berdasarkan status sebagai bekas juara remaja dunia dua kali pada aksi persahabatan tertutup di Stadium Hoki Nasional sebentar tadi.
Gol tunggal Young Tigers pada aksi pemanas badan terakhir itu diperoleh menerusi penalti stroke disempurnakan oleh Shahmie Irfan Suhaimi yang pernah beraksi bersama skuad senior pada Piala Dunia 2023 di Bhubaneswar-Rourkela, India awal tahun ini.
Ketua jurulatih skuad remaja negara, Muhamad Amin Rahim gembira dengan aksi yang dipamerkan anak-anak buahnya dan berharap momentum itu dapat diteruskan menghadapi saingan Piala Dunia Remaja 2023 nanti.
“Konsisteni adalan kunci untuk mencapai kejayaan. Semangat dan keyakinan memainkan peranan penting. Ia satu keputusan yang bagus untuk kita keluar dengan kemenangan malam ini.
“Saya gembira melihat aspek dari segi menyerang yang mana kita dapat dua pukulan sudut penalti dan berjaya menghasilkan satu penalti stroke daripada itu. Cuma dari aspek bertahan masih perlu diperkemaskan.
“Keseluruhan saya melihat kita semakin hampir untuk mencapai tahap sempurna yang kita mahukan. Jadi saya harap momentum ini dapat diteruskan terutama aksi pertama menentang Chile nanti,” katanya.
Sementara itu, pengendali India, C. R. Kumar tidak panik dengan kekalahan tersebut, sebaliknya percaya barisan pemainnya tetap berada pada landasan tepat dalam misi mereka mara ke final kejohanan nanti.
Sebagai rekod, pencapaian terbaik Malaysia di pentas Piala Dunia Remaja adalah meraih tempat keempat sebanyak tiga kali pada edisi 1979 di Versailles, Perancis; Kuala Lumpur 1982 dan New Delhi 2013. – KOSMO! ONLINE