fbpx

Tak sempat beli ikan, kedai dah terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PASUKAN bomba membuat pemeriksaan memastikan kebakaran telah dipadamkan sepenuhnya.

MELAKA – Seorang peniaga tidak sempat membeli bekalan barangan basah termasuk ikan dan ayam selepas kedai asam pedas yang diusahakan di Medan Selera Pantai Jaring, dekat sini dilaporkan terbakar, petang tadi.

Menurut Nur Hadila Marhasan, 49, kedai tersebut telah ditutup pada pukul 4 petang dan kejadian berlaku ketika dia sedang membeli barangan niaga di sebuah pasar raya di Tanjung Kling sebelum dihubungi peniaga lain yang memaklumkan terlihat api di dalam kedainya.

“Saya dah ambil ayam, ikan dan barangan lain untuk berniaga esok. Selepas peniaga lain telefon pada pukul 6.30 petang maklumkan kejadian, terus saya tinggalkan sahaja kerana ingin bergegas memeriksa keadaan kedai.

“Suami saya, Rosli Seman, 57, yang berada di rumah di Bukit Gedong tiba dulu di kedai dan dia beritahu api telah marak, kesemua tiga buah peti ais serta perkakas kedai musnah,” katanya ketika ditemui Kosmo!, di lokasi.

Ujarnya, kebakaran kedai yang merupakan sumber utama pendapatan keluarga dan telah diusahakan selama 18 tahun itu menyebabkan kerugian keseluruhan sekitar RM10,000.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu, Penguasa Bomba Kanan I (KUP) Ahmad Nyat berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 6.38 petang melalui talian MERS.

“Sepasukan lapan pegawai serta anggota telah ke lokasi dan kita dapati sebuah kedai makan telah terbakar. Kebakaran itu berjaya dikawal pada pukul 6.52 petang,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI