AMPANG JAYA – Seorang penghantar makanan ditahan selepas didapati memiliki kad kuasa polis palsu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, suspek yang merupakan lelaki tempatan dilihat dalam keadaan mencurigakan sewaktu anggota melakukan rondaan pukul 11.15 pagi di Taman Melawati semalam.
Katanya, anggota kemudian menahan suspek yang berusia 47 tahun itu dan menjumpai dompet berwarna hitam di dalamnya terdapat kad kuasa polis tertera tulisan Polis Diraja Malaysia dipercayai palsu.
“Suspek juga gagal menyatakan alasan memiliki kad kuasa tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Azam memberitahu, semakan mendapati lelaki itu memiliki empat rekod jenayah. Suspek ditahan reman empat hari untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 89 Akta Polis 1967,” katanya. – KOSMO! ONLINE