fbpx

Nelayan hanya dapat RM50 sehari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IGNATIUS menunjukkan projek tambakan di kawasan Ujong Pasir, Melaka yang menyebabkan hasil nelayan merosot.

MELAKA – Nasib lebih 300 nelayan pesisir pantai di negeri ini semakin ‘kelabu’ kerana terpaksa menanggung kesan tambakan projek mega bernilai berbilion ringgit termasuk penyusutan mendadak hasil laut dan kerosakan peralatan.

Kemelut itu turut diluahkan lebih 80 nelayan dari masyarakat Portugis di sini yang mendakwa pendapatan harian mereka kini hanya mencecah RM50 sehari selepas perairan di sepanjang Padang Temu ditambak sejak lebih enam tahun lalu.

Wakil nelayan perkampungan Portugis, Ignatius Gerard Danker, 63, berkata, kini hasil para nelayan tidak lagi semeriah dahulu, malah hasil laut termasuk ikan siakap, sembilang, bawal, kurau, senangin dan sebagainya sema­kin sukar diperoleh.

“Dulu kita boleh dapat (tangkap) ikan bawal paling kurang 500 ekor setiap kali ke laut, ikan sembilang kalau dapat 100 kilogram itu perkara biasa.

“Tetapi sejak perairan ini ditambak, ikan semua lari ke te­ngah dan kami terpaksa mengeluarkan simpanan membeli bot yang lebih besar berharga kira-kira RM50,000 untuk bergerak jauh sehingga ke Pulau Besar,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad baru-baru ini.

PROJEK tambakan laut menyebabkan aliran air di kawasan pesisir pantai di jeti Perkampungan Portugis tersekat dan berlumpur.

Tambahnya, kini pekerjaan itu juga hanya dilakukan oleh golo­ngan veteran dan tidak diajarkan kepada anak-anak memandangkan ia tidak lagi mampu menampung perbelanjaan harian.

Sementara itu, Edward Marsh, 57, memberitahu, dia terpaksa menanggung rugi ribuan ringgit dalam tempoh setahun disebabkan projek tambakan tersebut.

“Sudahlah hasil laut semakin kurang, jaring-jaring kami semua koyak kerana terkena objek tajam yang dipercayai merupakan sisa projek tambakan yang dibuangkan ke dalam laut.

“Sekeping jaring ini harganya lebih RM100, bukannya murah. Setiap kali ke laut mesti ada yang koyak terkena besi atau cerucuk yang dibiarkan di tengah laut oleh pemaju,” katanya.

Anaknya, Mahsiano Kelvin Marsh, 37, berkata, dia juga kini tidak lagi membantu bapanya ke laut kerana perlu mencari pekerjaan yang lebih stabil bagi menyokong kewangan keluarga.

“Sekali-sekala sahaja saya tolong bapa, dulu kalau di pesisiran pantai ini kita dah boleh tangkap 10 ekor belangkas dengan mudah, kerang pun banyak.

“Sekarang, belut pun sudah tidak mahu masuk ke kawasan ini, ada sesetengah kawasan air­nya tidak lagi mengalir menyebabkan tanah selut semakin tebal, berbau dan kotor,” katanya.

Ujarnya, kini para nelayan di perkampungan itu juga tidak lagi melangai udang geragau kerana hasil laut itu semakin pupus di­sebabkan perubahan keadaan perairan.

“Sebelum ini perkampungan Portugis ini juga menjadi salah satu lokasi pelancongan, sekarang ini tidak ramai yang datang kerana pemandangannya telah ‘hodoh’ dengan selut dan bangunan tinggi menghalang panaroma matahari terbenam,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI