fbpx

Lelaki hilang empat gigi tukang cuci menyamar doktor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kejadian itu berlaku di sebuah klinik gigi di daerah Kagithane. - Oddity Central

ANKARA – Seorang lelaki terpaksa menahan sakit selama sebulan selepas empat batang giginya dicabut oleh seorang tukang cuci yang menyamar sebagai doktor gigi di sebuah klinik di Istanbul, Turkiye, lapor laman berita Oddity Central semalam.

Berdasarkan dokumen kes yang baru diselesaikan di Mahkamah Sivil Istanbul, Hakan Yildirim, 42, pada awalnya menghubungi sebuah klinik gigi di daerah Kagithane untuk membuat janji temu kecemasan kerana mengalami sakit gigi yang teruk.

Panggilan telefonnya dijawab oleh Cemal Senaslan yang memperkenalkan dirinya sebagai seorang doktor gigi. Dia meminta Yildirim datang ke klinik pada sebelah petang untuk memeriksa masalah giginya.

Selepas menjalankan pemeriksaan ringkas, Senaslan memberitahu Yildirim bahawa empat batang giginya perlu dicabut. Yildirim mempertikai keputusan itu kerana menurut pengetahuannya, gigi di kawasan gusi bengkak tidak boleh dicabut.

Senaslan kemudian membius Yildirim lalu mencabut empat batang giginya selepas meyakinkannya bahawa tindakan itu perlu dilakukan. 

Yildirim membuat bayaran sebanyak 1,000 lira (RM161) seperti diminta oleh Senaslan dan diarahkan pergi ke farmasi dengan membawa preskripsi ubat yang ditandatangani lelaki itu. 

Bagaimanapun, Yildirim menjadi curiga selepas ahli farmasi cuba memintanya membayar wang ubat tersebut kerana dia mempunyai insurans yang sepatutnya menanggung kos perubatan.

Keesokan harinya, Yildirim kembali ke klinik tersebut kerana mengalami sakit gigi yang teruk. Seorang doktor bernama Ibrahim Levent bagaimanapun keliru apabila Yildirim memberitahu bahawa dia telah dirawat oleh Senaslan.

“Cemal (Senaslan) ialah tukang cuci saya, dia datang mencuci pada waktu petang,” kata Levent.

Dokumen mahkamah seterusnya menyatakan bahawa Yildirim dimasukkan ke bilik kecemasan kerana mukanya bengkak dan tidak dapat menahan kesakitan, manakala Senaslan dijatuhi hukuman penjara dua tahun enam bulan serta diarahkan membayar ganti rugi kepada  Yildirim. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI