SUNGAI PETANI – Penduduk di Bukit Selambau, di sini, gempar apabila sebuah kilang kayu berhampiran terbakar dengan disusuli letupan bunga api dalam kejadian pada malam ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Amanjaya, Azhari Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 7.57 malam.
“Pasukan bomba dari BBP Amanjaya, Sungai Petani, Kulim Hi-Tech serta bomba sukarela diarahkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, kita dapati sebuah kilang yang berkeluasan 60,000 kaki persegi terbakar dengan terdapat letupan bunga api berlaku di kawasan kebakaran,” katanya, di sini.
“Operasi memadam kebakaran masih dilakukan dan maklumat lanjut akan dikemas kini dari semasa ke semasa termasuk sama ada ia melibatkan mangsa atau tidak,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE