KEHILANGAN suami tercinta yang ‘pergi’ tanpa meninggalkan pesan masih terpahat kemas dalam jiwa pelakon handalan, Farah Ahmad.
Mana mungkin wanita berusia 46 tahun itu lupa detik pilu suaminya yang juga pengarah terkenal, Allahyarham Pitt Hanif ditemui lemas ketika memancing di Sungai Jelai, Kampung Mela, Kuala Lipis, Pahang pada 26 Oktober 2019.
Setelah empat tahun berlalu, hanya kenangan foto dan video yang dirakam bersama arwah menjadi pengubat rindu buat Farah serta tiga anaknya mengenang memori manis saat suaminya masih ada di sisi.
Kata Farah atau nama lengkapnya Nur Farahaizah Ahmad Zaharuddin, anak-anak menjadi kekuatan buat dirinya untuk menjalani kehidupan.
“Merekalah kekuatan saya. Kalau teringat (arwah suami), saya akan buka telefon dan melihat gambar dan videonya. Dapat juga melepaskan rindu,” kata wanita kelahiran 16 November 1977 itu.
Walaupun kehilangan ‘separuh jiwanya’, Farah enggan terlalu meratapi pemergian suami tercinta kerana sentiasa membawa bersama semangat arwah dalam hatinya.
Bagi Farah, yang tiada cumalah jasad si suami, namun semangatnya tetap ada dan sentiasa tersemat kemas dalam hatinya serta anak-anak.
“Rindu memang rindu. Tapi yang tiada hanyalah jasadnya. Semangat arwah sentiasa ada dalam hati saya,” ujar Farah.
Ketika berkongsi kehidupannya sebagai ibu tunggal, aktres berwajah eksotik itu bersyukur kerana melalui hari-harinya dengan baik, walaupun kini memikul beban sebagai ketua keluarga.
Tanpa sedar, Farah berkata sebenarnya Allah SWT telah pun menaikkan darjatnya setangga tanpa dia sedari dalam memikul tugas menggantikan suaminya sebagai ketua keluarga.
“Alhamdulillah, kami okey dan baik-baik sahaja. Kalau dulu saya boleh ‘goyang kaki’. Boleh ‘claim’ (diberi duit) oleh suami.
“Sekarang saya nak minta daripada siapa? Pada diri sendiri sajalah. Tapi itu semua tanggungjawab. Saya bersyukur anak-anak faham dan sudah diberitahu bahawa sekarang saya pegang peranan ayah.
“Si kakak ambil alih watak saya (sebagai ibu). Semuanya naik setangga. Dugaan kami besar, tapi sebenarnya Allah naikkan darjat kami tanpa disedari,” ujarnya.
Bercakap tentang sama ada pintu hatinya akan terbuka untuk berkahwin lagi sekiranya bertemu jodoh baharu, sambil tersenyum Farah berkata dia tidak pernah terfikir untuk menggantikan posisi arwah suaminya dengan lelaki lain.
Bahkan, ketika menadah tangan (berdoa), Farah tidak pernah menyebut tentang jodoh. Hanya yang dipinta Tuhan agar dikekalkan kerinduan terhadap arwah suaminya sahaja.