KUALA LUMPUR – Seorang anggota tentera maut selepas terlibat dalam kemalangan di persimpangan masuk Lebuh Raya Duta–Ulu Klang (DUKE) di sini pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh berkata, kemalangan membabitkan dua buah motosikal itu berlaku kira-kira pukul 7.25 pagi.
“Siasatan awal mendapati nahas berlaku apabila si mati yang menunggang motosikal Yamaha NMAX dari arah Pusat Latihan Polis (Pulapol) tidak berhenti semasa lampu isyarat merah.
“Mangsa kemudian merempuh penunggang motosikal jenis Honda Wave yang sedang membelok ke kanan dari arah PPR Ayer Panas untuk memasuki susur Lebuh Raya DUKE,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sarifudin memberitahu, akibat kemalangan itu, si mati yang berkhidmat sebagai anggota tentera udara berusia 32 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Seroang lagi penunggang iaitu wanita berusia 39 tahun mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE