fbpx

199 ahli keluarga tinggal sebumbung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZIONA (depan) bergambar bersama 38 isteri, 89 anak dan 36 cucu di kediaman mereka di Kampung Baktawng, Mizoram, India.

BAYANGKAN kehidupan di mana seluruh ahli keluarga yang ramai tinggal dalam sebuah rumah.

Pastinya rumah tersebut tidak akan pernah sunyi dan sentiasa meriah dengan suara serta telatah ahli keluarga lain.

Begitu pun, kisah sebuah keluarga dari salah satu kampung di India mencuri tumpuan kerana mempunyai hampir 200 orang ahli keluarga yang kesemuanya tinggal di dalam rumah sama.

Pu Ziona yang berasal dari Kampung Baktawng yang terletak di Mizoram, timur laut India disifatkan sebagai bapa kepada keluarga terbesar di dunia itu.

Memetik laporan laman web, Oddity Central, sekurang-kurangnya 199 orang ahli keluarga Ziona tinggal di dalam sebuah kompleks kediaman bertingkat milik keluarga itu.

Ziona merupakan seorang lelaki yang mempunyai seramai 38 isteri, 89 anak dan 36 cucu.

Beberapa anak Ziona pula mempunyai isteri lebih daripada seorang, sekali gus menjadikan bilangan ahli keluarga itu bertambah ramai.

Walaupun Ziona meninggal dunia pada usia 76 tahun akibat komplikasi kesihatan disebabkan hipertensi dan diabetes pada 2021, namun keluarganya masih terus tinggal di bawah satu bumbung di kompleks kediaman tersebut yang terletak berhampiran bukit.

Semasa hayatnya, Ziona mengetuai satu fahaman dipanggil Chhuan Thar Kohhran.

KESEMUA 199 ahli keluarga Ziona tinggal dalam kompleks kediaman bertingkat.

Ini menyebabkan orang ramai beranggapan bahawa dia adalah ‘manusia pilihan Tuhan’.

Dia juga begitu dihormati. Oleh itu, komuniti atau ahli keluarganya tidak pernah membantah tindakan Ziona setiap kali dia berkahwin lagi.

Malah, penduduk tempatan dengan senang hati mengahwinkan anak perempuan mereka dengan lelaki yang sangat dihormati itu.

Kini, keluarga itu diketuai oleh anak sulung Ziona iaitu Nunparliana.

Dia berkata, mendiang bapanya itu banyak mengajar mereka sekeluarga tentang erti kasih sayang.

“Bapa mengajar saya nilai menyayangi dan menjaga setiap ahli keluarga kami.

“Sifat kasih sayang inilah yang menjadikan nilai kekeluargaan kami terus utuh dan erat,” katanya.

Keluarga itu rapat antara satu sama lain dan akan melakukan banyak aktiviti bersama.

Kesemua ahli keluarga tersebut juga akan berkumpul untuk makan bersama-sama dua kali sehari dalam sebuah dewan besar iaitu pada pukul 9 pagi dan 5.30 petang.

Salah seorang menantu Ziona, Thansangzeli pula berkata, memandangkan mereka mempunyai ahli keluarga yang ramai, proses penyediaan makanan dalam jumlah besar merupakan satu cabaran.

“Memasak makanan dalam satu jumlah besar adalah sangat sukar.

“Kami memerlukan masa untuk membiasakan diri.

“Begitu pun, apabila semua ahli keluarga wanita turut sama-sama membantu, ia menjadi lebih cepat dan mudah,” katanya.

Nunparliana berkata, dia sedar satu hari nanti, tradisi poligami keluarganya itu mungkin akan mati dan tidak lagi diteruskan.

Malah, dia sedar bahawa semua ahli keluarganya mungkin tidak lagi tinggal sebumbung selepas ini.

Namun, dia berharap agar keluarganya boleh kekal bahagia dan gembira untuk satu tempoh yang lama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI