PASUKAN hoki wanita negara kini lebih bersemangat selepas Majlis Sukan Negara (MSN) mengekalkan skuad itu dalam Program Podium sehingga selesai aksi kelayakan Sukan Olimpik 2024 di Valencia, Sepanyol awal tahun depan.
Ketua jurulatih wanita kebangsaan, Mohd. Nasihin Nubli Ibrahim berterima kasih kepada MSN kerana terus memberi kepercayaan kepada skuad kendaliannya itu dan percaya pengumuman tersebut meningkatkan motivasi para pemainnya menjelang cabaran sebenar Januari depan.
“Alhamdulilah dengan kepercayaan yang diberikan oleh MSN sejak tahun ini kami telah memberi tumpuan kepada pasukan wanita ini. Jelas ia berbaloi dan MSN mula nampak hasilnya.
“Bermula pada Sukan SEA, Sukan Asia Hangzhou dan di Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT), India baru-baru ini. Kami lihat ada peningkatan dan juga berlaku penambahbaikkan dalam skuad itu sendiri.
“Kehadiran skuad wanita dalam Program Podium ia adalah peluang terbaik kepada pasukan ini untuk naik ke tahap lebih tinggi. Dengan sokongan dan bantuan seperti ini saya rasa pemain hoki wanita mula sedar bahawa mereka telah diberi kepercayaan tertinggi terutama bagi pemain muda ini.
“Insya-Allah kami tidak akan hampakan MSN dengan peluang yang diberikan ini dan saya yakin pasukan hoki wanita akan lebih maju dan lebih baik di peringkat lebih tinggi. Ketika ini, skuad hoki wanita di landasan tepat untuk kita menjadi terbaik di Sukan Asia 2026,” katanya.
Dalam pada itu, Nasihin turut berharap skuad hoki wanita negara terus cemerlang agar dapat kekal dalam program MSN pada masa akan datang.
Kelmarin, MSN memutuskan untuk mengekalkan skuad hoki lelaki dan wanita negara dalam Program Podium sehingga Januari depan dan selepas itu kedudukan mereka dinilai semula sama ada kekal atau pun tidak dalam program berkenaan.
Menjelang aksi kelayakan nanti, anak buah Nasihin akan beraksi dalam kumpulan B bersama Great Britain, Sepanyol dan Kanada. Pasukan yang menamatkan saingan di kedudukan tiga terbaik bagi setiap kempen kelayakan akan mengesahkan tiket ke Paris 2024.