fbpx

K2

Selesa, tenang dengan konsep minimalis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kediaman bertema minimalis melibatkan penggunaan perabot yang ringkas

KONSEP minimalis sememangnya merupakan antara konsep hiasan dalaman paling popular bagi pemilik kediaman di negara ini.

Hiasan dalaman yang ‘clean’ dengan penggunaan perabot yang sedikit menjadikan rumah sentiasa nampak kemas dan tidak sarat.

Bagi Ima Naem Rusli, dia sememangnya amat menyukai aspek hiasan dalaman kediaman dan sering mengimpikan untuk menata hias kediaman miliknya dengan konsep diidamkan.

Konsep minimalis dengan gabungan warna seperti putih, coklat cair atau beige dan hitam menjadi pilihan wanita yang mesra disapa sebagai Ima itu untuk diterapkan pada kediamannya.

Menurut ibu kepada dua orang cahaya mata itu, seiring dengan peningkatan usia, dia semakin selesa mendiami sebuah rumah yang tidak sarat dengan perabot.

“Rumah ini dihias dengan konsep minimalis yang mana perabot yang diletakkan di sini adalah tidak sarat.

“Saya sebenarnya lebih selesa dengan hiasan dalaman kediaman yang sebegini, tanpa penggunaan perabot yang banyak,” ujarnya.

Ruang tamu kediaman yang terletak di Senawang, Negeri Sembilan itu dihias cukup ringkas dengan gabungan tiga rona utama.

Sapuan cat dinding berwarna putih pada keseluruhan ruang kediaman menyerlah elemen minimalis dan pada masa sama menjadikan kediaman nampak lebih luas.

Sofa jenis fabrik daripada rona beige menjadi pilihan Ima untuk diletakkan di ruang tamu bagi memberi kesenadaan dengan konsep kediaman.

Sebagai penyeri, dua bingkai gambar warna putih dengan kemasan bertekstur diletakkan di sudut atas sofa.

Menjengah ke ruangan meja makan keluarga, warna putih masih melatari segenap ruang kediaman, menjadikan rumah tampak bersih.

Ruangan kediaman tampak menenangkan menerusi penggunaan warna-warna yang lebih natural.

Kongsi Ima, ada juga yang mempersoalkan mengapa dia memilih warna putih pada kediamannya itu kerana warna tersebut dianggap agak ‘selamat’ tetapi membosankan.

Ini kerana, biarpun sudah beberapa kali mengubah suai susun atur perabot pada kediaman, Ima masih mengekalkan warna putih sebagai warna utama kediamannya.

“Ada juga yang bertanya mengapa saya memilih rona putih sebagai rona utama kediaman kerana warna putih ini disifatkan sebagai warna yang membosankan.

“Bagi saya, semua orang mempunyai cita rasa yang berbeza-beza dan bagi saya, warna putih itu cukup cantik dan saya amat menyukai warna ini,” katanya.

Meja makan jenis segi empat sama menjadi pilihan Ima dan kemudiannya dipadankan bersama empat kerusi rekaan moden.

Bingkai gambar kecil berwarna hitam dan putih pula menjadi penyeri ruang. Hal itu bagi menjadikan ia tidak nampak terlalu polos.

Biarpun dihias cukup ringkas, ruang itu tetap mempunyai pesonanya sendiri dan sesuai buat keluarga kecil Ima.

Tambah Ima, dia berharap agar mampu kekal dengan konsep minimalis tersebut untuk jangka masa yang panjang kerana menganggap perabot yang banyak akan menambah masa mengemas kediaman.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI